ICU rancang pelbagai program basmi miskin tegar Terengganu tahun hadapan

Bernama
Disember 11, 2023 12:34 MYT
Abdul Kahar (tiga, kiri) ketika hadir pada majlis penyerahan rumah PPRT di Kg Kuala Ibai, Kuala Terengganu, pada Mei lalu. - Gambar fail/Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU: Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), telah melaksanakan dan merancang beberapa program untuk tahun hadapan, sebagai langkah membasmi kemiskinan di negeri itu.
Pengarahnya Abdul Kahar Abdul Latif berkata ini termasuk memperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi program Bina Baru dan Baik Pulih Rumah, supaya kumpulan sasar itu berpeluang memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
"Selain dari melaksanakan program pembangunan fizikal, kami turut menyelaras pelaksanaan program kesejahteraan rakyat bagi usaha menoktahkan kemiskinan di Terengganu.
"Statistik terkini menunjukkan sebanyak 6,506, ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan 24,740 KIR miskin telah didaftarkan dalam sistem eKasih," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu Bersama Media 2023, di sini.
Abdul Kahar berkata dalam memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik dalam kalangan kumpulan sasaran, pihaknya juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya Program Usaha Kasih (UKasih), Program Peningkatan Pendapatan dan Program Kasih Prihatin dengan kerjasama rakan strategik.
"Kerjasama antaranya dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ini, dapat meluaskan liputan perlindungan sosial kepada KIR yang berdaftar dengan eKasih," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan beriltizam menjadikan tahun 2023 sebagai noktah kepada permasalahan miskin tegar di negara ini, melalui beberapa pendekatan baharu untuk mengatasi kelemahan inisiatif lepas seterusnya meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar dalam menjana pendapatan.
Hasrat kerajaan itu ternyata menampakkan hasil apabila Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada persidangan di Dewan Rakyat, November lepas memaklumkan kadar isi rumah miskin tegar berkurang daripada anggaran 1 peratus isi rumah pada 2020, kepada 0.2 peratus atau 18,445 isi rumah pada masa ini berdasarkan data Survei Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan pada 2022.
Rafizi berkata data eKasih oleh ICU JPM sehingga 31 Okt lepas juga, turut memperlihatkan pengurangan jumlah KIR miskin tegar kepada 102,888 berbanding 126,556 pada Januari 2023, menurun sebanyak 38.8 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, Abdul Kahar turut memaklumkan pihaknya telah menyelesaikan agihan Wang Ihsan untuk 39,145 mangsa banjir bagi tahun lepas dan tahun ini, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM137 juta.
Tambahnya lagi, dengan kerjasama Pejabat Daerah, Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu juga telah melaksanakan dan menyiapkan penyelenggaraan 215 tandas sekolah, di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia bernilai RM15.05 juta.
-- BERNAMA
#terengganu #basmi kemiskinan #miskin tegar #program Bina Baru dan Baik Pulih Rumah
;