ICU JPM peruntuk RM9.6 juta bina rumah baharu golongan miskin di Kelantan
Bernama
Disember 19, 2023 08:30 MYT
Disember 19, 2023 08:30 MYT
KOTA BHARU: Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) memperuntukkan sebanyak RM9.6 juta kepada 120 orang miskin tegar dan miskin di Kelantan di bawah program Rumah Kasih Ihsan bagi membantu membina rumah baharu untuk golongan itu bermula tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata program yang dilaksanakan melalui peruntukan pembasmian kemiskinan itu juga turut menyediakan sejumlah RM5.8 juta bantuan baik pulih rumah kepada 240 ketua isi rumah (KIR).
"Empat KIR yang dikenal pasti sewaktu Program Jelajah eKasih@Kijang pada 23 Sept lalu antara penerima terawal yang mendapat bantuan bina rumah baharu yang akan bermula Januari tahun depan, manakala selebihnya akan dibina sepanjang tahun tersebut juga.
Usaha murni ini sejajar dengan hasrat kerajaan menoktahkan miskin tegar di negara ini, selain menunjukkan keprihatinan kerajaan yang tidak bersikap pilih kasih membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah ICU JPM di Kampung Badang, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata ICU JPM juga telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1.55 juta bagi program peningkatan pendapatan peserta eKasih dan RM1.018 juta bagi program jelajah kesejahteraan rakyat negeri ini.
"Berdasarkan analisis data sehingga 3 Dis lepas, jumlah KIR miskin tegar Kelantan berkurangan sebanyak 40.1 peratus atau 4,927 berbanding 12,280 awal tahun ini.
Antara faktor penurunan itu termasuk impak bantuan dan program pembasmian kemiskinan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri kepada golongan sasar," katanya.
Sementara itu penerima bantuan bina rumah baharu, Mohd Zukri Mohd Yusof, 44, tidak menyangka impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai selepas lebih 10 tahun menumpang di rumah nenek isterinya.
Beliau yang bekerja sebagai penjual kelapa mengalami kecacatan kaki akibat jangkitan kuman kencing tikus beberapa tahun lepas sehingga menyukarkannya mencari rezeki dan terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
-- BERNAMA