ICU HSA terbakar: Warga emas koma, anak rayu bantu cari lokasi lain

Fadhlina Siddiq
Oktober 27, 2016 04:13 MYT
Rafizah merayu pihak hospital dapat membantu pihak keluarga mencari Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital lain yang boleh menempatkan ibunya yang koma. - Foto Astro AWANI
Seorang warga emas, Fatimah Laksa, 70, yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, koma susulan kejadian insiden kebakaran pada Selasa.
Susulan itu, anaknya, Rafizah Mohd Samusi, 49, mengharapkan pihak hospital dapat membantu pihak keluarga mencari Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital lain yang boleh menempatkan ibunya dengan kadar segera.
Ketika ditemui, Rafizah berkata ibunya yang menghidap penyakit kencing manis itu, sepatutnya menjalani pembedahan untuk memotong kakinya namun terpaksa ditangguhkan.
“Kita tengah tunggu sama ada Hospital Sultan Ismail ada kekosongan. Kalau tidak ada, kemungkinan pihak di sini akan menghubungi hospital di Kluang, Batu Pahat atau Segamat.
“Kita mengharapkan sangat kekosongan ini untuk selamatkan emak kita, sebab emak sudah koma,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Rafizah yang memahami kekangan dan keadaan semasa hospital, bagaimanapun redha dengan kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Selasa, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.
#Fatimah Laksa #Hospital Sultanah Aminah #hospital terbakar #HSA #ICU #unit rawatan rapi