ICQS Serikin hab kawalan sempadan aktiviti perdagangan Sarawak-Kalimantan

Lynch Cowan
Oktober 17, 2020 13:12 MYT
Pembinaan ICQS Serikin bakal menjadi kawalan sempadan bagi aktiviti perdagangan antara negeri Sarawak dan Kalimantan Indonesia. - Foto fail Bernama
BAU: Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin bakal menjadi kawalan sempadan bagi aktiviti perdagangan antara negeri Sarawak dan Kalimantan Indonesia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Katanya, menerusi ICQS itu nanti ia dapat memperketatkan pergerakan kemasukan para pedagang dari negara jiran (Kalimantan Indonesia) secara sah yang berdagang di Bazar Sempadan Serikin.
“Pos ICQS itu penting kerana kita mahu pastikan barangan yang dibawa masuk oleh para peniaga dari sempadan itu ke negeri kita secara sah dan jumlah yang terkawal.
“Malah, apabila siap nanti kita mahukan penggunaan sistem yang teratur serta ketat seperti pengawalan dari pihak imigresen dan kastam agar para peniaga ini dapat masuk secara sah bukan sahaja dari dokumen perjalanan tetapi barangan yang telah dibenarkan oleh pihak penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di Pejabatnya di Pekan Bau pada Sabtu.
Pada Mac lalu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melakukan lawatan ke Sempadan Sarawak - Serikin, dan hasil lawatan tersebut beliau meluluskan pembinaan Kompleks ICQS berhampiran sempadan berkenaan, iaitu empat kilometer dari Kampung Serikin.
Tambahnya lagi, transaksi perdagangan antara Sarawak dan Kalimantan Indonesia akan mejadi lebih teratur.
“Sudah pasti apabila kemasukan para peniaga ke negeri ini akan memberikan hasil pendapatan kepada negeri ini apabila mereka membayar cukai membawa masuk barangan untuk dijual secara sah.
“Oleh itu, terbukti pembinaan ICQS Serikin ini bakal memberikan manfaat kepada dua pihak di antara peniaga yang mendapat hasil jualan dari penduduk tempatan dan Sarawak cukai barangan,” tegasnya.
#ICQS Serikin #Hab perdagangan Sarawak-Kalimantan #kawalan perdagangan #Datuk Henry Harry Jinep #ADUN Tasik Biru #tingkat perdagangan #Ekonomi Sarawak
;