ICERD: Himpunan kesyukuran dijamin tiada unsur perkauman - Zahid

Harits Asyraf Hasnan
Disember 4, 2018 08:18 MYT
AHMAD ZAHID: Saya mewakili kawan-kawan dengan UMNO dan Pas akan tetap pergi dan ini mesti dipisahkan daripada isu-isu perkauman. -Gambar fail
Himpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini dijamin bebas daripada unsur perkauman dan sensitif.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tersebut lantaran perhimpunan itu dibuat bertujuan menzahirkan kesyukuran rakyat Malaysia.
“Saya mewakili kawan-kawan dengan UMNO dan Pas akan tetap pergi dan ini mesti dipisahkan daripada isu-isu perkauman.
“Pertemuan yang kita lakukan dalam bentuk himpunan itu untuk menyatakan penghargaan, kesyukuran dan terima kasih di atas keputusan Kabinet menerusi kenyataan media menunjukkan bahawa kerajaan menolak ICERD untuk diratifikasikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi permit untuk mengadakan himpunan tersebut, justeru pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Banyak perkara telah dilakukan terutamanya kita akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa,” katanya.
#akta perhimpunan aman #DBKL #ICERD #Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskr #PAS #perhimpunan #SOP #UMNO #Zahid Hamidi