ICERD: Bantahan hanya akan ganggu proses konsultasi - Timbalan Speaker
Afiezy Azaman
November 23, 2018 15:01 MYT
November 23, 2018 15:01 MYT
Protes bantahan mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan mengganggu proses konsultasi mengenai konvensyen itu.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata perbincangan dan forum mengenai ratifikasi ICERD adalah lebih baik daripada mengadakan demonstrasi bantahan.
"Kita dalam Malaysia baharu tidak bersetuju untuk membuat sebarang keputusan terburu-buru, bagi menjamin kebaikan bangsa dan negara.
"Saya lihat forum ini adalah pentas dan wadah terbaik untuk berbincang, bukannya dengan melakukan demonstrasi dan membuat bising dan kesudahannya rakyat tidak dapat maklumat yang lebih tepat," kata Mohd Rashid pada forum "Apa perlunya ICERD untuk Malaysia' di Universiti Islam Malaysia (UIAM), di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada, antara lain, rancangan UMNO dan Pas untuk mengadakan perhimpunan mega membantah cadangan ratifikasi ICERD pada 8 Disember ini.
Turut hadir, ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil; penulis dan penganalisis politik Hasmi Hashim; aktivis Hishamuddin Rais dan setiausaha Liga Pemuda Malaysia, Amir Abd Hadi.
#ICERD
#Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskr
#PAS
#Rashid Hasnon
#ratifikasi
#UMNO