ICBES 2024: Pakar rama-rama dari seluruh dunia berkumpul di Pulau Pinang
Bernama
November 4, 2024 23:32 MYT
November 4, 2024 23:32 MYT
GEORGE TOWN: Persidangan Antarabangsa Pempamer dan Pembekal Rama-Rama (ICBES) 2024 yang bermula hari ini menyediakan platform terbaik kepada peminat, penyokong pemuliharaan, pempamer dan pembekal untuk berkongsi minat terhadap rama-rama, pemuliharaan dan alam semula jadi, serta melindungi rama-rama liar.
Persidangan sehingga 7 Nov itu menghimpunkan hampir 100 pakar, pempamer dan pembekal dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, Jerman, Perancis, Sepanyol, Switzerland, Turkiye, Costa Rica, Ecuador, Panama, Kenya, Filipina, Jepun, Singapura, China, Hong Kong, New Zealand, Australia dan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata ICBES 2024 membuka peluang kepada peserta untuk berkongsi ilmu, kerjasama dan inovasi selain menjadi platform terbaik untuk membincangkan isu-isu mendesak yang dihadapi dalam pemuliharaan rama-rama pada hari ini, serta saling bertukar idea yang menyumbang kepada kelestarian dan impak masa depan.
Beliau berkata rama-rama bukan sekadar serangga kecil yang menangkap imaginasi ramai, malah ia adalah petunjuk penting tentang kesihatan ekosistem, dan dengan kewujudan atau ketiadaannya, ia boleh memberi banyak maklumat mengenai keadaan alam sekitar sesuatu kawasan.
"Ketika kita berdepan dengan cabaran yang semakin meningkat akibat perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti, kerja-kerja yang anda semua lakukan, sama ada melalui pameran, penyelidikan atau program pemuliharaan menjadi semakin penting.
"Usaha-usaha ini memastikan generasi akan datang bukan sahaja dapat menikmati keindahan rama-rama tetapi juga memahami peranan yang dimainkannya dalam mengekalkan keseimbangan ekologi," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada ICBES 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Pempamer dan Pembekal Rama-Rama Antarabangsa (IABES) Kimberly Kelly dan Ketua Pegawai Eksekutif Entopia Joseph Goh.
Wong berkata Pulau Pinang mempunyai rangkaian biodiversiti yang unik, daripada kehijauan Bukit Bendera sehingga hidupan liar semula jadi di Taman Negara, dan penganjuran program berfokuskan pemuliharaan antarabangsa ini secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran global terhadap ekosistem dan meletakkan mereka sebagai peneraju dalam ekosistem pelancongan.
Sementara itu Kimberly berkata ICBES mewakili komuniti individu dan organisasi di peringkat global yang berdedikasi terhadap pemuliharaan dan penghargaan rama-rama serta ekosistemnya.
"Kerja-kerja yang kami lakukan sama ada melalui pendidikan, pembiakan atau pameran, memainkan peranan penting bagi memastikan generasi akan datang dapat terus menghargai keindahan dan kepentingan rama-rama," katanya.
Joseph berkata selama bertahun-tahun, Entopia berusaha untuk memberi inspirasi kepada orang ramai tentang kepentingan alam semula jadi, dan menerusi penganjuran ICBES mereka memperoleh peluang terbaik untuk mengukuhkan lagi misi berkenaan.
"Dalam beberapa hari akan datang, kita akan meneroka kemajuan baharu, melibatkan diri dalam perbincangan penting dan menekankan komitmen bersama untuk melindungi spesies rama-rama dan habitatnya. Pandangan yang diperoleh di sini akan membentuk masa depan industri ini dan menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti di peringkat global," katanya.
Penganjuran tahun ini merupakan kali ketiga Pulau Pinang menjadi tuan rumah ICBES, selepas berjaya menganjurkan persidangan berkenaan pada tahun 2000 dan 2009.
-- BERNAMA