Ibu Zayn Rayyan dibawa ke lokasi kejadian
Astro Awani
Jun 10, 2024 12:04 MYT
Jun 10, 2024 12:04 MYT
PETALING JAYA : Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah dibawa oleh polis ke kediaman mereka di Damansara Damai, di sini, hari ini.
Dipercayai tujuan suspek berkenaan dibawa bagi melakonkan semula kejadian.
Seramai sekitar 10 petugas media berada di lokasi bagi melaporkan prosedur terbabit dan perkembangan terkini kes itu.
Wartawan yang berada di lokasi mendapati suspek wanita itu tiba kira-kira jam 10.15 pagi menaiki van putih menuju ke blok R di kediaman terbabit.
Difahamkan, suspek akan dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman, bagi melakonkan semula kejadian.
Berdasarkan tinjauan di situ, kelihatan anggota polis turut membawa patung kanak-kanak.
Bagaimanapun tujuannya masih belum dapat dipastikan.
Kawasan sekitar lokasi kejadian juga dikawal ketat oleh anggota polis.
Sebelum itu, media melaporkan ibu bapa kepada Zayn Rayyan yang direman selama tujuh hari berakhir Jumaat, disambung reman kali kedua selama enam hari lagi sehingga Rabu depan.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.