Ibu Yati didakwa buat kenyataan di FB berhubung koronavirus
Bernama
Februari 5, 2020 11:55 MYT
Februari 5, 2020 11:55 MYT
Seorang wartawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan novel koronavirus 2019 di laman profil Facebook miliknya yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melalui akaun Facebook miliknya, ‘Ibu Yati’ secara sedar telah membuat kenyataan mengenai koronovirus dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam atau kepada mana-mana golongan awam.
Ketiga-tiga kenyataan itu telah dibaca di halaman Facebook miliknya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, di sini, pada 10 malam, 26 Jan 2020.
Tertuduh yang berpakaian serba ungu itu didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 11 Mac sebagai sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#berita palsu
#Bukit Aman
#coronavirus
#Ibu Yati
#ikat jamin
#kegentaran awam
#koronavirus
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#mengaku tidak bersalah
#menyebabkan ketakutan
#Pertuduhan
#siasatan
#Wan Noor Hayati Wan Alias
#wartawan