Ibu wira Lahad Datu, ASP Zulkifli Mamat sedih sambut Aidilfitri

Bernama
Ogos 8, 2013 08:15 MYT
Sedang ibu lain bergembira bersama anak-anak yang pulang untuk berhari raya di kampung, sebaliknya bagi ibu wira negara ASP Zulkifli Mamat yang terkorban semasa serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, pada 1 Mac lalu tidak dapat menahan kesedihan kerana kehilangan anak yang disayangi.
"Kalau dulu, apabila menjelang hari raya, Zulkifli pasti sampai sehari sebelum bagi menjengok saya di sini tetapi kini segala-galanya sudah berubah," kata Khadijah Ismail, 64, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kubang Ikan, Gong Bayor di sini hari ini.
Menurutnya setiap tahun bila ketibaan hari raya Zulkifli pulang ke kampung bersama isteri Nor Aziah Noor, 28, bersama dua anaknya Mohamad Akmaludin, 5 dan Mohamad Akil, 1, dari Ipoh, Perak.
Katanya kenangan lalu masih terbayang-bayang ketika anaknya yang sebelum terkorban bertugas di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak itu muncul di pintu rumah dengan membawa pelbagai buah tangan dan persediaan untuk masakan pagi raya.
Bagaimanapun Khadijah reda dengan keadaan tersebut dan telah cuba untuk melupakannya dengan kehadiran anak-anaknya yang lain pada tahun ini.
"Dua lagi anak-anak makcik termasuk isteri Zulkifli yang kini tinggal di Perlis dijangka akan tiba pada hari raya kedua nanti," katanya.
Ditanya tentang sumbangan yang diterimanya dari pelbagai pihak sejak kematian Zulkifli beliau berkata setakat ini kerajaan negeri Terengganu yang menepati janjinya.
"Kini rumah mak cik yang dulunya usang telah dibaiki melalui Projek Pemulihan Rumah oleh kerajaan Terengganu dengan kos belanja melebihi RM11,000," jelasnya.
Bagaimanapun katanya beliau terkilan dengan beberapa janji dari beberapa syarikat yang pernah berjanji untuk menyumbang perabot rumah namun sehingga kini tidak ditunaikan.
"Mak cik tidak mengharapkan sangat, tetapi bersyukur dengan usaha kerajaan negeri membaiki rumah mak cik sehingga membolehkan kami tinggal dengan selesa," katanya.
Sementara itu di KANGAR, balu Allahyarham Nor Aziah berkata sambutan kali ini amat sayu bagi beliau bersama dua anaknya dan membuat persiapan secara sederhana.
"Amat sayu apabila anak-anak bertanya tentang ayah mereka dan ingin berjumpa. Mereka kata, nak panjat syurga untuk jumpa ayah," katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron bersama pegawai kanan dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perlis di kediamannya.
Nor Aziah, seorang guru yang kini sarat mengandung tujuh bulan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang banyak membantunya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semasa kunjungan itu, Zull Aznam turut menyumbang hamper dan sejumlah wang sumbangan pegawai dan anggota polis Perlis.
"Kami akan terus menjaga kebajikan keluarga perwira negara ini dan akan terus membantunya," kata Zull Aznam.
Menurut Zull Aznam, pengorbanan Allahyarham ASP Zukifli kepada negara amat besar dan perjuangannya mempertahankan kedaulatan negara perlu dicontohi semua pihak.
Beliau berharap generasi muda juga menerapkan semangat kepewiraan Allahyarham dalam jiwa mereka untuk menjadi warga negara yang patriotisme dan cintakan negara.
#Aidilfitri #Lahad Datu
;