Ibu warga emas dipercayai dibunuh, anak OKU mental

Bernama
Jun 25, 2024 23:47 MYT
Hoo Chang Hook berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 11.55 pagi dan mangsa dipercayai bergaduh dengan anaknya. - Gambar Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bahau, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 11.55 pagi dan mangsa dipercayai bergaduh dengan anaknya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 63 tahun itu ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai di hadapan halaman rumahnya.
"Suspek berusia 33 tahun merupakan anak pertama kepada mangsa dan pemegang kad orang kurang upaya (mental). Mereka sebelum itu dipercayai bertengkar dan berlaku pergelutan, tiada kecederaan disebabkan senjata tajam.
"Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit di rumah tersebut dan punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Hoo berkata permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Bahau esok dan orang awam turut dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar mangsa.
-- BERNAMA
#warga emas #OKU #Mahkamah Majistret #bedah siasat
;