Ibu Wan Azizah meninggal dunia, Anwar batal jelajah ke Sarawak

Astro Awani
Oktober 24, 2022 09:10 MYT
Datin Mariah Khamis (tengah) meninggal dunia sekitar jam 2.45 pagi ini di Ampang. - Facebook/Nurul Izzah
KUALA LUMPUR: Ibu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datin Mariah Khamis menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Allahyarham yang berusia 88 tahun meninggal dunia sekitar jam 2.45 pagi tadi di Ampang, dekat sini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di media sosial beliau.
"Solat jenazah dijadualkan pada jam 11.30 pagi ini di Masjid Al Mustaqim, Ampang," katanya.
Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan itu terpaksa mengambil keputusan membatalkan jelajah ke Miri dan Kuching, Sarawak yang dijadualkan hari ini.
"Saya memohon maaf kepada seluruh pimpinan Harapan Sarawak serta para pendukung kerana terpaksa membatalkan jelajah ke Miri dan Kuching yang dijadualkan hari ini.
"Kita ketemu lagi di lain waktu, InshaAllah," katanya.
Allahyarham meninggalkan empat anak perempuan termasuk Dr Wan Azizah dan seorang anak lelaki.
Pada Disember 2019, Dr Wan Ismail Wan Mahmood, 93 tahun, bapa kepada Dr Wan Azizah meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Taman Ampang Utama.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail #Anwar Ibrahim #PKR #PRU15
;