Ibu tunggal tujuh anak rayu bantuan ringankan beban keluarga
Pritha Manivannan
Mac 23, 2018 08:00 MYT
Mac 23, 2018 08:00 MYT
Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu merupakan nasib yang menimpa seorang ibu tunggal tujuh anak apabila dia bukan saja ditinggalkan suami tanpa sebab, malah kini berdepan penyakit kulit pula.
Bagaimanapun, Malarveli, 40 tahun, yang menyara hidup sebagai penyembur racun serangga dan pembaja di sebuah ladang kelapa sawit di Banting, Selangor, tidak pernah kesal dengan nasib menimpa dirinya.
Baginya, tujuh anak yang berusia enam hingga 19 tahun menjadi penyuntik semangat untuk dia terus menggagahkan diri bekerja demi menampung perbelanjaan keluarga.
Tidak pernah meratapi 'ditinggalkan' suami, Malarveli bangkit dengan semangat baharu walaupun berdepan cabaran dan masalah kesihatan yang dihidapinya.
"Kulit tangan saya sangat gatal dan sakit, tetapi saya tetap memerah kudrat untuk menampung kehidupan demi tujuh orang anak," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Khamis.
Kesempitan hidup menyukarkannya mendapatkan rawatan rapi bagi merawat derita masalah kulit yang sudah ditanggung berbulan-bulan.
Malah, tiada lagi air mata yang mampu tumpah untuk meratapi nasibnya.
"Saya mendapat gaji RM25 sehari. Gaji itu tidak cukup untuk menyara keluarga saya. Sewa rumah yang perlu dibayar adalah RM300 sebulan selain perbelanjaan barangan keperluan harian.
"Tentang kesihatan saya, saya tidak risau. Apa yang saya mahu, anak-anak mendapat pendidikan sempurna dan mampu mengubah nasib keluarga," katanya tenang sambil memandang lantai simen tanpa alas.
Lebih memilukan apabila, enam anaknya yang masih bersekolah terpaksa berpuasa atau mengharapkan bantuan rakan yang lain untuk makan ketika waktu rehat di sekolah.
"Hanya anak sulung saya yang bekerja untuk membantu saya menyara keluarga. Tetapi pendapatannya juga tak seberapa," katanya tentang hidup mereka yang diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Ibu tunggal itu kini berharap agar ada pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tampil membantu meringankan beban keluarga mereka.
#Ganesan
#Hospital
#kanchana
#kelapa sawit
#keluarga
#kerajaan
#kesihatan
#Malarveli
#Malaysia
#mykad
#pendidikan
#racun sawit
#rumah
#sekolah