Ibu tunggal terpaksa berhenti menoreh urus anak lumpuh

Sinar Harian
Oktober 24, 2023 09:30 MYT
Norhaniza Arifin, 44, yang kehilangan suami sejak lima tahun lalu disebabkan serangan jantung berhenti kerja sebagai penoreh getah bagi menjaga anak perempuannya, Nur Adawiyah Awang Noh. - Gambar SINAR HARIAN
KUALA KRAI : Seorang ibu tunggal terpaksa berhenti kerja sebagai penoreh getah bagi menjaga anak perempuannya yang lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Mac lalu.
Kemalangan itu menyebabkan Nur Adawiyah Awang Noh, 15, patah paha dan tangan kanan sehingga menyebabkan dia tidak mampu duduk mahupun berdiri.
Menceritakan semula perkara itu, Norhaniza Arifin, 44, yang kehilangan suami sejak lima tahun lalu disebabkan serangan jantung berkata, semasa kejadian anaknya dalam perjalanan membeli kelengkapan persekolahan penggal baharu.
"Kemalangan itu berlaku dua hari sebelum sesi persekolahan tahun ini bermula apabila motosikal dinaiki Nur Adawiyah dan rakannya dilanggar motosikal lain.
"Susulan itu, anak ketiga saya kritikal dan koma," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Kelang Baru di sini pada Isnin.
Sebelum itu, Norhaniza menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Balai Islam Sekam Darat (BISD) yang diwakili oleh Pengerusinya, Mohd Awal Din.
Menurut ibu kepada lima anak itu, sejak Nur Adawiyah terlantar dia tidak mampu untuk keluar mengambil upah menoreh.
Ujarnya, hal ini kerana dia perlu memberikan perhatian sepenuhnya kepada Nur Adawiyah, manakala tiga lagi anak masih bersekolah.
Tambah Norhaniza, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.
"Sebelum ini cukup kerana saya banyak buat kerja sampingan seperti upah berkebun, menoreh dan sebagainya.
"Tetapi sekarang dengan jumlah tersebut kami terpaksa mengikat perut kerana keperluan Nur Adawiyah perlu diutamakan seperti lampin pakai buang, susu khas yang bernilai RM120 setin. Susu itu hanya mampu bertahan tiga hari," katanya.
Lebih memeritkan lagi, Norhaniza perlu membawa Nur Adawiyah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dua hingga tiga kali sebulan untuk membuat rawatan susulan.
Ujar dia, untuk ke sana ambulans diperlukan kerana hanya kenderaan itu yang sesuai dan bayaran sebanyak RM650 perlu disediakan setiap kali rawatan.
Menurut dia, ini kerana jarak rumah ke hospital yang jauh serta perlu menaiki feri khas menyeberangi Sungai Kelantan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Mybank 153029151579 Norhaniza Arifin. - Sinar Harian
#ibu tunggal #urus anak lumpuh #penoreh getah #kemalangan
;