Ibu tunggal sanggup dimaki, dipukul bekas suami asalkan dapat bersama enam anak

Mingguan Wanita
September 2, 2021 09:42 MYT
Alina bersama sebahagian anak-anaknya yang terdiri daripada lima perempuan dan seorang lelaki. - Foto Mingguan Wanita
SIAPA yang tidak ralat, bila perkahwinan selama 16 tahun terlerai begitu saja. Bekas suami pertama tiba-tiba berubah dan mula mengabaikan keluarga. Sehinggakan dia seolah-olah digantung tidak bertali.
Namun wanita ini nekad hidup bersama enam orang anaknya walapun kehidupan mereka agak susah dengan bil yang tertunggak kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Terlepas daripada mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau, bila perkahwinan kedua pun tidak kekal lama. Hanya mampu bertahan 9 bulan sahaja denga bekas suami keduanya pula.
Peritnya terpaksa dilalui oleh ibu tunggal ini. Tetapi, dia tidak menyerah kalah dan teruskan kehidupan bersama dengan anak-anaknya.
Ini antara perkongsian Natipah Abu yang terlibat dengan persatuan NGO bagi membantu ibu tunggal.
Bekas suami menikah lain
“Sebelum saya nak mulakan cerita ni, saya ingin memohon maaf jika ada salah dan silap.
Nama saya Alina Nor Hafizah Abu Hasan, berumur 42 tahun. Ibu tunggal kepada enam orang anak yang lima daripadanya perempuan manakala seorang lelaki, berusia antara 11 hingga 21 tahun.
Anak-anak ini, hasil perkahwinan pertama saya. Salah seorang anak saya, iaitu anak perempuan sulung merupakan seorang OKU bisu dan pekak dan berusia 21 tahun.
Sejarah perkahwinan saya selama 16 tahun bersama suami pertama, saya telah digantung tidak bertali selama dua tahun oleh suami saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum diceraikan.
Dia tiba-tiba berubah dan mula mengabaikan keluarga. Akhirnya dia tidak pulang lagi ke rumah. Saya mencarinya di tempat kerja tetapi dia memaklumkan tidak ingin lagi hidup bersama saya. Rupanya dia sudah menikah lain.
Daripada perbincangan saya dengan anak-anak, saya membuat keputusan untuk berpisah dengan bekas suami yang pertama.
Pada tahun 2018, saya akhirnya digelar ibu tunggal. Setiap nafkah anak dan nafkah apa pun, saya tidak pernah dapat daripada bekas suami.
Semuanya saya yang tanggung. Pelbagai kerja saya lakukan, daripada kerja tukang masak sampailah ke tukang cuci rumah orang, semuanya saya pernah buat untuk menyara hidup saya dan anak-anak.
Tetapi dengan kerja saya ini, anak saya ke-3, iaitu satu-satunya anak lelaki saya, membuat keputusan untuk berhenti sekolah dalam usia 15 tahun kerana tidak mahu saya bekerja teruk untuk mereka.
Hidup kami sekeluarga memang susah, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itulah hidup kami sekeluarga.
Kadangkala saya terpaksa meminta ehsan daripada orang sekeliling yang sudi menolong kami. Tetapi Alhamdulillah anak-anak saya faham dan tak pernah merungut.
Jodoh kedua bertahan 9 bulan
Kerja memasak yang saya tahu itulah satu-satunya sumber pendapatan untuk saya dan anak-anak sampailah saya akhirnya bertemu jodoh dengan bekas suami yang kedua pada 2019.
Tetapi, jodoh saya tidak panjang bila saya rupanya tertipu. Terpedaya dengan janji manisnya untuk susah senang hidup dengan saya, akhirnya saya bernikah dengan seorang penagih dadah rupanya.
Hampir setiap hari saya terpaksa menanggung kesakitan yang tidak tahu untuk diucapkan dengan perkataan. Saya selalu dipukul oleh bekas suami saya itu yang menagih ais dan air ketum.
Dia perlukan duit untuk membeli bekalan dadah walhal dia tidak bekerja. Saya dan anak-anak yang terpaksa menanggung dia dan menanggung kos dia membeli apa yang dia mahu.
Jika saya tidak memberikan duit kepadanya, dia akan pukul, terajang dan cekik saya. Maki hamun saya di depan anak-anak sudah menjadi perkara biasa bagi saya.
Pernah sekali dia cuba hendak memukul anak-anak tapi saya menghalang kerana itu bukan anak-anak dia. Apa hak dia sedangkan, saya sendiri pun tidak pernah memukul mereka.
Saya sanggup dimaki hamun, dipukul dan disepak terajang asalkan anak-anak tidak disentuh.
Pada satu hari, kami bergaduh besar sehingga dia mengugut untuk membunuh saya dan anak-anak jika saya tidak penuhi permintaan dia untuk membeli dadah.
Dia telah mengacukan sebilah pisau kepada saya. Saya akhirnya meminta bantuan majikan tempat bekerja dan dia membuat laporan polis untuk saya.
Bekas suami saya akhirnya ditangkap dan saya pun membuat keputusan untuk berpisah. Saya diceraikan lagi buat kali keduanya hanya setelah sembilan bulan bernikah.
Sanggup hidup susah dengan anak-anak
Sejak itu, tekad saya, hanya ingin hidup bersama anak-anak saja. Dan sampailah sekarang, satu-satunya kemahiran saya hanyalah memasak untuk menyara hidup kami.
Saya membuat kerja memasak di rumah untuk anak-anak menjual dari rumah ke rumah.
Walaupun hidup kami susah tetapi saya tetap bersyukur kerana anak-anak masih bersama saya.
Sekarang, saya menanggung tunggakan duit rumah, bil letrik dan bil air. Bekas suami pertama tidak pernah lagi bertanya khabar anak-anak. Jauh sekali menghulur wang walau sesen pun. Sayalah ibu, sayalah ayah kepada anak-anak “.
Demikianlah luahan Alina, moga ada yang sudi membantu dia menyelesaikan tunggakan bil dan memberikan dia modal bagi membuka gerai jualan.
Semoga kisah beliau menjadi iktibar buat semua di luar sana untuk bersyukur dengan apa yang kita ada.
Mingguan Wanita : Dugaan orang tidak sama. Semoga Alina sentiasa dipermudahkan segala urusan.
Sumber: Natipah Abu
Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.
#bekas suami #ibu tunggal #anak #hidup susah
;