Ibu tunggal sambut baik insentif bantuan RM1,000 JKM

Eton Khir
November 17, 2022 22:08 MYT
Rata-rata golongan ibu tunggal terjejas dengan pandemik COVID-19 dan menyambut baik peningkatan insentif daripada RM300 kepada RM1,000.
PETALING JAYA: Tinjauan Astro AWANI di salah sebuah persatuan ibu tunggal di Petaling Jaya mendapati rata-rata golongan sasar termasuk golongan ibu tunggal menyambut baik terhadap cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam pembangunan sistem bersepadu bagi mewujudkan jaminan jaringan sosial rakyat.
Pada masa yang sama, cadangan MPN itu juga adalah selaras dengan peningkatan insentif sebanyak RM1,000 setiap bulan berbanding RM300 sebelumnya yang diberikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mereka yang rata-ratanya golongan B40 beranggapan bantuan tersebut telah banyak membantu dari segi kebajikan dan kos sara hidup khususnya ketika pandemik COVID-19.
Menurut seorang warga emas, Rohana Kecut, 62, beliau sangat bersyukur dengan bantuan tersebut kerana memikirkan kos sara hidup yang tinggi melibatkan keperluan barangan dapur semakin mahal pada masa kini.
“Syukur, alhamdulillah, saya sangat bersetuju dengan kenaikkan insentif bantuan daripada RM300 kepada RM1,000. Pada masa sama, dapatlah menambah lagi keperluan kami ibu-ibu tunggal yang memerlukan.
“Ini juga termasuk bagi keperluan barang dapur basah dan kering untuk ahli keluarga,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Persatuan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Nur Hikmah, Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Selain itu, bagi warga emas, Siti Fatimah Ahmad, 69, beliau sangat mengalu-alukan bantuan insentif tersebut kerana kesihatannya yang tidak menentu selain tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak menerima sumbangan daripada mana-mana pihak sebelum ini.
“Golongan ibu tunggal seperti saya ini tiada pendapatan tetap dan sumbangan daripada mana-mana pihak.
“Jujurnya, kehidupan saya sekeluarga amat terkesan ketika pandemik dan saya juga telah berusia dan kesihatan saya sedikit sebanyak tidak menentu. Jika saya ke Klinik Kesihatan dapatlah percuma kerana merupakan warga emas.
"Saya sangat bersyukur, dengan insentif tersebut yang diberikan kepada ibu tunggal yang memerlukan seperti saya," katanya.
Sementara itu, peniaga dalam talian, Rosmaini Mohd Zain, 41, ibu tunggal kepada empat orang anak itu merasakan dengan bantuan tersebut ia sedikit sebanyak meringankan bebannya atas faktor masih perlu menampung persekolahan keempat-empat orang anaknya.
“Kehidupan saya sekeluarga memang sedikit sebanyak terjejas akibat pandemik COVID-19. Kini, ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Apatah lagi, empat orang anak saya masih bersekolah dan suami saya yang telah meninggal dunia.
“Saya sangat bersyukur dengan bantuan tersebut kerana ia sekaligus dapat membantu kos sara hidup saya dan anak-anak,” katanya.
Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara tulus dan cekap kepada golongan sasaran.
Selain itu, ia turut berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang boleh mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.
Agenda pemulihan yang bersifat inklusif ini sekali gus dapat memastikan tiada golongan yang akan terpinggir khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta pribumi Sabah dan Sarawak.
Cadangan MPN | Ibu tunggal sambut baik bantuan JKM RM1,000
*Artikel ini adalah kandungan berbayar
#MPN #jkm #sistem bersepadu #golongan ibu tunggal
;