Ibu tunggal rayu bantuan rawat anak hidap buah pinggang bocor

Vivi Sumanti
April 10, 2022 10:50 MYT
Nor Faizah memangku anaknya Nur Airis Maisarah yang menderita buah pinggang bocor. -Astro AWANI
JERANTUT: Seorang ibu tunggal memerlukan bantuan untuk membiayai rawatan anak bongsunya yang mengalami penyakit buah pinggang bocor.
Nor Faizah Mohamad Hamizam, 31, berkata, anak bongsunya turut menderita penyakit usus dan hati sejak berusia dua tahun, tetapi pulih setelah mendapat rawatan dan pembedahan Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (HTAKL) penghujung tahun lalu.
Katanya, dia memerlukan perbelanjaan untuk membeli susu, lampin pakai buang, ulang alik ke HTAKL termasuk persekolahan tiga orang anak sehingga mencecah RM3,000 sebulan.
“Anak saya, Nur Airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang berusia tiga tahun lima bulan yang mengalami penyakit buah pinggang bocor dan memerlukan rawatan susulan dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Suami saya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar meninggal dunia pada 31 Januari 2022 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit kencing manis yang kronik serta ditambah komplikasi jangkitan kuman dalam darah, asid dalam darah dan hati,” katanya di rumahnya di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, pada Sabtu.
Katanya lagi, kini tanggungjawab dipikul olehnya untuk mencari rezeki dan sedang berusaha mencari kerja untuk perbelanjaan keperluan dapur, perubatan Nur Airis Maisarah dan persekolahan tiga anak berusia 10, 12 dan 14 tahun.
“Saya menjual ketupat cuma memperoleh pendapatan kecil sahaja akibat ancaman wabak COVID-19 dan kemudiannya makanan itu dijual secara hantar dan bayar, malah lama-kelamaan kekurangan pelanggan.
“Saya pernah menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, tetapi kesemua wang itu dibelanjakan untuk rawatan dan pembedahan anak saya yang mengalami penyakit bahagian usus dan hati tahun lalu," katanya.
Dia merayu kepada orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah salurkan bantuan dengan menghubungi Nor Faizah Mohamad Hamizam menerusi talian 013 6958230 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional, nombor akaun 0610541100001386 (Nor Faizah).
#ibu rayu bantuan #buah pinggang bocor #Nor Faizah Mohamad Hamizam #Nur Airis Maisarah Mohd Zulkarnaen
;