Ibu tunggal perlu bangkit ubah nasib diri, keluarga

Bernama
Februari 19, 2018 10:55 MYT
Hanya diri mereka yang boleh melakukan perubahan ke arah kebaikan, manakala pihak lain dan kerajaan hanya mampu memberikan bantuan dan sokongan kepada golongan berkenaan. - Gambar hiasan/REUTERS
Golongan ibu tunggal perlu bangkit untuk mengubah nasib diri dan keluarga serta bijak merebut peluang yang disediakan kerajaan agar status mereka tidak dipandang rendah oleh masyarakat.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini kerana hanya diri mereka yang boleh melakukan perubahan ke arah kebaikan, manakala pihak lain dan kerajaan hanya mampu memberikan bantuan dan sokongan kepada golongan berkenaan.
"Kita dapat lihat ada antara golongan ini usia belasan tahun sudah menjadi ibu tunggal. Namun, mereka sedaya upaya bangkit memajukan diri... jadikan mereka contoh dan jangan rasa terpinggir. Kita harap golongan ibu tunggal tidak ketinggalan dalam apa jua arus pembangunan masa kini.
"Justeru, persatuan ibu tunggal di setiap negeri atau mana-mana pihak yang berkaitan diminta mengenal pasti golongan ini supaya membolehkan kerajaan membantu mereka mengikut keperluan dan kesesuaian semasa," katanya kepada pemberita pada majlis Ramah Mesra bersama 232 Ibu Tunggal, di sini malam tadi.
Anggota Parlimen Masjid Tanah itu berkata usaha tersebut juga memudahkan golongan ibu tunggal berinteraksi serta mengusulkan cadangan atau permintaan kepada pihak kerajaan agar nasib golongan berkenaan terus dapat dibela.
Beliau berkata banyak isu yang dihadapi oleh ibu tunggal yang perlu dilihat dan diperjuangkan bersama, termasuk dari segi perundangan yang membabitkan soal perceraian.
"Dengan cara ini, mereka mampu mengubah nasib diri dan keluarga, lebih-lebih lagi membabitkan ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak kecil dalam bilangan yang ramai," katanya yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. -- Bernama
#ibu tunggal #Mas Ermieyati #Puteri UMNO #single mother
;