Ibu tunggal menangis, sujud syukur, terlepas hukuman gantung

Bernama
Februari 1, 2023 20:00 MYT
Huda Humairah Liang Moi Yin yang juga ibu kepada empat orang anak menangis dan melakukan sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya atas dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah. - Gambar BERNAMA
MELAKA: Seorang ibu tunggal menangis dan melakukan sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya atas dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6 kilogram.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, yang juga ibu kepada empat orang anak.
"... selepas meneliti dan mengambil kira laporan forensik dan analisis DNA pada sikat dan tuala mendapati bukan saja DNA tertuduh dan orang kena tuduh dua tetapi terdapat orang lain yang tidak dikenali.
"Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di apartmen tersebut adalah bersambung dengan bilik yang dijumpai dadah tersebut. Didapati juga beberapa orang dan set kunci dijumpai yang mempunyai akses ke bilik utama tersebut, " kata Anselm.
Mahkamah turut membebaskan wanita itu daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati Huda Humairah bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah seberat 20.25 gram dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2018.
Penjual buah itu didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di kawasan meletak kenderaan dan di sebuah unit apartmen di Pinggiran Bunga Raya, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12 (2) ADB dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Perbicaraan bermula pada 15 Sept 2020 dengan 19 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilarif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping. - BERNAMA
#Ibu tunggal menangis #sujud syukur #terlepas hukuman gantung #Mahkamah Tinggi Melaka
;