Ibu tunggal lanjut usia setia urus anak cacat kekal
Astro Awani
Februari 16, 2014 12:25 MYT
Februari 16, 2014 12:25 MYT
Usianya sudah lanjut namun demi kasih kepada anaknya, seorang ibu tunggal berusia 104 tahun tetap meneruskan tanggungjawabnya.
Sejak kehilangan suami 20 tahun lalu, Meliah Md Diah terus memikul tanggungjawab menjaga anaknya yang mengalami kecacatan kekal.
Abdul Rahman Saud, 62, cacat akibat sawan yang menyerang sejak kecil.
Anank bongsu daripada empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan ibunya untuk makan, mandi dan bergerak.
Meliah yang tinggal bersama anak lelakinya itu turut dibantu oleh ahli keluarga cucu saudaranya, Mohamad Sufian Abd Rahman, dalam menyediakan keperluan seharian mereka.
Pada usia itu, Meliah yang sepatutnya mendapat perhatian dan penjagaan ana-anak tidak pernah merungut dengan tanggungjawab yang dipikulnya.
Keperitan hidup dua beranak ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Badrul Hisham Hashim.
Beliau turut menyumbangkan barangan keperluan harian semasa mengunjungi keluarga ini serta berjanji akan membina sebuah rumah baru bagi membantu memudahkan kehidupan mereka.
“Saya dapat tahu mereka ini mendapat bantuan dari JKM dan zakat. Walaupun begitu saya percaya ia masih tidak mencukupi tetapi Insyaallah saya akan memastikan kalau terdapat keperluan lain dan saya juga akan menyeru kepada badan korporat, NGO atau mana-mana badan untuk menyalurkan bantuan,” tambah beliau.
Turut bersama dalam kunjungan itu Jabatan Pendaftaran Negara yang membantu membuat kad pengenalan baharu untuk Abdul Rahman.
Kali terakhir ia dibuat adalah pada Januari 1969 ketika beliau berusia 17 tahun.
#Abdul Rahman Saud
#anak
#Badrul Hisham Hashim
#cacat kekal
#ibu tunggal
#Meliah Md Diah
#Mohamad Sufian Abd Rahman
#usia lanjut