Ibu tunggal enam anak mangsa banjir terpinggir
Muhafandi Muhamad
Disember 3, 2017 20:10 MYT
Disember 3, 2017 20:10 MYT
Selepas beberapa kali berpindah randah di rumah sanak saudara ekoran rumahnya dinaiki air seorang ibu tunggal terpaksa akur dan memilih untuk berteduh di sebuah pangkin berhampiran kediamannya di Kampung Kubang Kanji, Pasir Tumboh sejak empat hari lalu.
Ibu tunggal itu, Salihah Harapan Abdullah, 37, bukan sahaja perlu berdepan kesejukan malam serta gigitan nyamuk tetapi enam anaknya termasuk salah seorang yang tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) terpaksa menerima nasib sama.
Ujarnya, dia memilih untuk tidak tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) memandangkan tiada PPS dibuka berhampiran rumahnya.
"Saya terpaksa memilih untuk tinggal di pangkin ini bersama enam lagi anak yang berusia empat hingga 18 tahun. Gigitan nyamuk dan kedinginan malam menjadi 'selimut' untuk saya dan anak-anak.
"Sudah empat malam kami sekeluarga tinggal di pangkin ini kerana tiada pilihan memandangkan tempat itu sahaja yang tinggi selain tidak dinaiki air," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Lebih merisaukan dirinya ujar Salihah anak ketiganya merupakan menghidap penyakit Palsi Serebrum sering diserang sawan dengan adakalanya berdarah di bahagian mulut serta perlu dibawa ke Hospital Univeristi Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian menggunakan ambulans.
Difahamkan Salihah telah meminta bantuan daripada ketua kampung bagaimanapun sehingga sekarang tiada bantuan diberikan.
Salihah sebelum ini menumpang rumah ibunya pada hari pertama kawasan rumahnya dinaiki air sebelum berpindah ke rumah kakaknya pula selepas rumah itu juga dinaiki air.
Malah, keputusan untuk tinggal dan berteduh di pangkin berhampiran rumahnya dibuat selepas rumah kakaknya turut dinaiki air.
#banjir
#Hospital Univeristi Sains Malaysia
#HUSM
#Kampung Kubang Kanji
#Kelantan
#Kubang Kerian
#mangsa
#OKU
#Pasir Tumboh
#terpinggir