Ibu tunggal dua anak mangsa banjir pertama dipindahkan di Kelantan
Sinar Harian
November 21, 2023 12:10 MYT
November 21, 2023 12:10 MYT
PASIR PUTEH: Seorang ibu tunggal bersama dua anak perempuannya menjadi mangsa awal banjir yang dipindahkan di negeri ini selepas kediaman mereka di Kampung Pachakan di sini dinaiki air akibat hujan berterusan pada pagi Selasa.
Mereka dipindahkan pada jam 6.31 pagi selepas air naik mendadak dan masuk ke dalam rumahnya sehingga mencetuskan rasa panik kepada keluarga tersebut.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.16 pagi daripada wanita berusia 40-an itu.
"Apabila kami sampai di kawasan rumahnya mendapati air melimpah sekitar 0.1 meter, namun disebabkan hujan lebat berterusan mereka minta dipindahkan.
"Ibu tunggal serta anak yang berusia 12 dan 15 tahun itu telah dipindahkan ke Masjid Dalam Rhu untuk penempatan sementara, sebelum dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) SK (Sekolah Kebangsaan) Dalam Rhu," katanya ketika dihubungi. - Sinar Harian