Ibu tunggal didenda RM100 tulis perkataan kurang sopan di kertas saman
Bernama
Disember 15, 2016 21:40 MYT
Disember 15, 2016 21:40 MYT
Seorang ibu tunggal didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menulis perkataan kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan di atas kertas saman trafik yang diterimanya, semalam.
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias yang menjatuhkan hukuman itu, turut menasihati tertuduh, Tan Yeoh Foong, 53, supaya tidak mengulangi perbuatannya itu.
Tan, yang memakai baju sejuk berwarna jingga, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Mandarin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
Mengikut kertas pertuduhan, Tan didakwa menulis perkataan kurang sopan, iaitu "babi" di atas kertas saman yang diterimanya, di Jalan Tun Abdul Razak di sini kira-kira 8.55 malam tadi.
Terdahulu, peguam Chuah Shyue Chien memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan memandangkan tertuduh merupakan suri rumah, tidak lagi bekerja serta menghidap penyakit anemia dan sentiasa berada dalam keadaan lemah, yang dipercayai mempengaruhi emosi tertuduh yang tidak stabil.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir yang membawa kes berkenaan meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal memandangkan kejadian seumpama itu disifatkan semakin berleluasa sehingga mengganggu penguatkuasa menjalankan tugas mereka. -- BERNAMA
#Azlan Shah Mohd Allias
#Babi
#denda RM100
#ibu tunggal
#kertas saman trafik
#menulis perkataan kurang sopan
#Tan Yeoh Foong