Ibu tunggal didakwa bunuh anak sendiri
Bernama
Januari 22, 2020 14:05 MYT
Januari 22, 2020 14:05 MYT
Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap anak kandungnya yang berusia dua tahun 10 bulan pada 13 Januari lepas.
Nurul Shamira Mazlan, 21, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan dan hanya menggangguk faham ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak perempuannya, Nur Shahana Abdus Quddus di sebuah pangsapuri di Jalan Kempas Indah, Taman Kempas Indah, Kempas, di sini antara 5 hingga 11 Januari lepas.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Benedict Choong Kai-Qi manakala tertuduh diwakili oleh tiga peguam iaitu Muhammad Ashraff Mohd Diah, Mohd Norazihan Adnan dan Jack Sumatra.
Majistret Rashidah kemudiannya menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.
Tertuduh sebelum ini ditahan polis bersama teman lelakinya, 33, pada pukul 3.45 petang, 14 Januari (Selasa) lepas.
Ia susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) yang menemui kesan penderaan pada badan kanak-kanak itu ketika dibawa oleh ibunya untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami jangkitan kuman.
Sementara itu, Muhammad Ashraff memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa teman lelaki tertuduh telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah dan akan dipanggil semula sebagai saksi kes.
-- BERNAMA
#bunuh
#Hospital
#Johor Bahru
#Kanak-kanak
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#Nur Shahana Abdus Quddus
#Nurul Shamira Mazlan