Ibu tunggal dan teman lelaki ditahan, dipercayai dera tiga beradik

Umavathi Ramayah
Ogos 28, 2021 15:26 MYT
Mohamad Fakhrudin berkata, tangkapan ke atas suspek yang berusia 30 dan 38 tahun itu dibuat selepas menerima laporan daripada jiran mereka. - Gambar fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana dipercayai mendera tiga anak kandungnya yang berusia empat hingga tujuh tahun, di Kota Damansara, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan ke atas suspek yang berusia 30 dan 38 tahun itu dibuat selepas menerima laporan daripada jiran mereka.
"Pada Isnin lalu, suspek dipercayai menyerahkan salah seorang anaknya yang berusia empat tahun untuk dijaga oleh jiran yang juga pengadu kes ini.
"Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu, pengadu mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di badan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin memberitahu, pengadu kemudiannya membawa mangsa untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran, kira-kira pukul 6.30 petang, pada Khamis.
Bertindak atas laporan itu beliau memberitahu, polis memberkas pasangan kekasih itu kira-kira pukul 4 petang, keesokan harinya di rumah mereka.
"Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati suspek wanita yang merupakan ibu tunggal itu tinggal bersama teman lelakinya dan tiga anaknya," jelasnya lagi.
Ketika tangkapan itu dilakukan, beliau memberitahu, polis menyelamatkan dua lagi anak wanita itu yang berusia enam dan tujuh tahun serta menghantar mereka ke PPUM untuk rawatan lanjut.
Katanya, polis juga telah merujuk kes ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya.
"Pemeriksaan awal terhadap kedua-dua mangsa, mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki kesan penderaan," tambahnya lagi.
Menurutnya, polis turut merampas tiga batang rotan pelbagai saiz yang dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek.
Kedua-dua suspek katanya, ditahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan.
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #lebam #IPD Petaling Jaya #kecederaan #penderaan #anak kandung
;