Ibu tunggal bimbang masa depan anak Autisme
Bernama
April 24, 2014 16:37 MYT
April 24, 2014 16:37 MYT
Apabila melihat anak lelakinya pada usia tiga tahun tidak berganjak daripada memerhati mesin basuh berpusing untuk tempoh yang lama, Mazlina Ismail mula sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan anak tunggalnya itu.
Ibu tunggal berusia 34 tahun itu juga mendapati anaknya Umar Al-Kattab, tidak menyahut panggilan, tidak ada hubungan mata dan menunjukkan ketakutan luar biasa apabila dihampiri orang yang baru dikenali.
Keliru dengan keadaan anaknya, Mazlina kemudian membawa Umar ke Hospital Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan dan dimaklumkan bahawa anaknya mempunyai simptom Autisme.
Seperti tidak percaya, beliau membawa Umar ke Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) bagi mendapatkan pandangan kedua.
"Apabila didiagnos Umar mengalami Autisme, saya pulang ke rumah dan untuk seketika saya tidak tahu hendak buat apa dan bermula macam mana," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Seminar Antarabangsa Autisme Malaysia 2014 di sini, Rabu.
Dengan perasaan bercampur baur, beliau gagah mencari maklumat melalui semua saluran bagi mendapatkan sistem sokongan terbaik untuk Umar dan untuk dirinya sendiri.
Kini, Umar berusia enam tahun serta dikategorikan sebagai 'Asperger', satu tahap Autisme, sedang mengikuti pembelajaran di tadika dan mula menunjukkan perkembangan baik dengan boleh bercakap dan mengikuti arahan yang diberikan oleh Mazlina.
"Tetapi Umar yang kini juga masih belum boleh dikerumuni oleh orang ramai, saya membayar RM200 sebulan untuk pengangkutan Umar ke sekolah dan van yang dinaiki Umar tidak dikongsi dengan orang lain," katanya.
Mazlina yang berkhidmat sebagai wartawan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata beliau bersyukur mendapat sokongan dari keluarga, majikan dan persatuan autisme yang disertainya.
Namun, perasaan seorang ibu pastinya akan sentiasa membimbangi masa depan anak dan bagi Mazlina ia satu perkara yang dihadapinya setiap hari, selain memikirkan penerimaan masyarakat terhadap keadaan anaknya.
"Sebagai ibu, saya amat bimbang mengenai Umar apabila saya sudah tiada, saya cuba lakukan segala yang terbaik untuk Umar, masa untuk saya tiada, ia hanya untuk Umar," luahnya sebak.