Ibu tunggal bebas tuduhan bunuh anak enam tahun

Bernama
Oktober 11, 2024 14:15 MYT
A. Mariyammah bersama peguamnya, S. Paul Krishnaraja. - Gambar/ Sinar Harian
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan seorang ibu tunggal daripada pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia enam tahun, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap A. Mariyammah, 39, di akhir kes pendakwaan.
"Setelah mendengar keterangan saksi dan menimbang hujahan dikemukakan kedua-dua pihak serta berdasarkan penilaian menyeluruh atas semua keterangan, saya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie.
"Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri," katanya.
Mengikut pertuduhan, Mariyammah didakwa membunuh anaknya di Apartment Matahari Height, Jalan Persiaran Senawang 8, Seremban antara pukul 5.30 petang sehingga 6.30 petang pada 5 Sept 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seramai 13 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh diwakili peguam S. Paul Krishnaraja dan Amy Chong.
-- BERNAMA
#kes bunuh anak #ibu tunggal bebas #keputusan mahkamah #Apartment Matahari Height
;