Ibu tunggal 9 anak dijatuhi hukuman mati mandatori miliki, edar dadah
Petrus Bernard
Oktober 15, 2021 00:02 MYT
Oktober 15, 2021 00:02 MYT
TAWAU: Seorang ibu tunggal kepada sembilan orang anak dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alwi Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairun Jalmani, 55, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tertuduh yang juga penjual ikan didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2018.
Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acho.
Sepanjang prosiding pendakwaan, pihak pendakwa menampilkan empat saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh sendiri.