Ibu tujuh anak genggam PhD dengan sebelah mata
Bernama
Jun 15, 2022 18:15 MYT
Jun 15, 2022 18:15 MYT
SHAH ALAM: Walaupun mengalami masalah penglihatan iaitu mata kanan tidak berfungsi, tidak sesekali melunturkan semangat seorang ibu tujuh anak untuk memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Norhayati Sambak, 52, berkata, meskipun mengambil masa selama enam tahun, beliau bersyukur dapat menghabiskan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau yang merupakan pensyarah di UiTM Kelantan berkata, anak-anak dan suami adalah pembakar semangatnya untuk menggapai PhD.
"Tipulah, jika tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu menjual tanah untuk membayar semula duit kerajaan (biasiswa).
"Pernah juga satu tahap, rasa macam sudah tidak nampak (hala tuju) kerana tiada hasil. Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.
Norhayati kini terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi menjalani kehidupan seharian selepas mata kirinya pula menghidap lekangan retina, namun, hal itu tidak memadamkan cita-citanya untuk meraih skrol PhD.
"Tahun lepas, selepas selesai PhD saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri. Mata kanan tidak berfungsi sejak 10 tahun lepas, hanya menggunakan mata kiri sahaja.
"Mungkin terlalu mengharapkan mata kiri, ia terlalu stres sehingga jadi seperti ini (tidak nampak)," katanya yang telah menghasilkan dua buah buku berkaitan kewangan.
Selepas selesai temu bual, wanita cekal itu dibantu staf UiTM bagi mendapatkan suaminya yang menunggu di pekarangan dewan memandangkan penglihatannya yang sangat minimum telah membantutkan pergerakannya.
Sementara itu, seorang pegawai polis ASP, Abang Faisal Yaman, 54, melahirkan rasa syukur selepas penantiannya selama tujuh tahun bagi memperoleh PhD dalam pengurusan korporat akhirnya tercapai.
Selain sokongan rakan-rakan, Ketua Cawangan Pengajian Latihan Asas/Lanjutan di Pulapol Kota Kinabalu itu berkata, kemahuannya mahu memakai bonnet atau topi PhD mendorongnya untuk terus berusaha.
"Jika mahu belajar PhD perlu pandai membahagikan masa dan perlu mencari titik perubahan supaya terus bersemangat.
"Saya akan pastikan dalam masa satu hari, dua jam akan diperuntukkan untuk PhD. Jika bekerja di luar kawasan saya mesti bawa komputer riba, sebab itu nadi kita supaya kita tidak lupa," katanya.
Bapa dua anak itu berharap kejayaannya itu memberikan galakan buat rakan dan anak-anaknya untuk terus belajar ke peringkat tertinggi.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan UiTM pada hari kedua istiadat konvokesyen tersebut. - BERNAMA