Ibu tiga anak maut, dipercayai dibunuh kekasih
Sinar Harian
Februari 23, 2025 05:30 MYT
Februari 23, 2025 05:30 MYT
Mayat mangsa ketika diusung ke dalam kenderaan polis. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang penyanyi sambilan yang juga ibu kepada tiga anak ditemukan mati dipercayai dibunuh teman lelaki di sebuah rumah sewa di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Pokok Mangga, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa berusia 52 tahun dan telah menyewa di rumah dua tingkat itu bersama kekasihnya sejak lima bulan lalu, ditemukan dalam keadaan terbaring atas katil.
Teman serumahnya yang enggan dikenali berkata, dia menyedari mangsa bersama suspek tidak keluar bilik sejak Jumaat lalu dan terdengar suara orang menahan kesakitan namun tidak mengesyaki apa-apa pada malam Sabtu.
Menurutnya, namun pada pagi semalam dia berasa curiga kerana pasangan kekasih itu masih tidak keluar bilik lalu mengetuk pintu bilik mangsa sebelum lelaki terbabit membuka pintu bilik.
"Namun lelaki itu hanya buka sedikit sahaja pintu ditambah pula keadaan bilik mangsa ketika itu agak gelap dengan tingkap ditutupi langsir.
"Jadi saya tak nampak apa berlaku, cuma ternampak mangsa terbaring atas katil dan suspek memberitahu mangsa sedang tidur," katanya ketika ditemui di lokasi di sini, semalam.
Jelasnya, dia berasa curiga dan kemudian menghubungi seorang lagi rakan mangsa yang sering membantu menghantar mangsa pergi menyanyi sebelum dia menghubungi polis.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati kehadiran Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.
Bagaimanapun sehingga kini polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.
Sumber berkata, polis menemukan mayat wanita berlumuran darah di atas katil bersama suspek berada berhampirannya dalam keadaan cedera.
Selain itu ujarnya, terdapat senjata tajam iaitu dua bilah pisau kecil dipercayai digunakan dalam kejadian di rumah teres dua tingkat itu.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala suspek yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya. - Sinar Harian