Ibu tiga anak maut akibat kebakaran rumah diklasifikasi sebagai kes bunuh

Sinar Harian
Mac 11, 2025 15:37 MYT
Polis menahan seorang lelaki susulan kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Sri Gading, di sini, Sabtu lalu selepas mangsa, seorang wanita, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, pada Ahad malam. -Sinar Harian
BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki susulan kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Sri Gading, di sini, Sabtu lalu selepas mangsa, ibu kepada tiga anak meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, pada Ahad malam.

Ringkasan AI
  • Polis menahan seorang lelaki susulan kebakaran rumah di Kampung Baru Sri Gading yang menyebabkan kematian seorang wanita.
  • Kejadian berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan suspek, yang menyebabkan kebakaran menggunakan pemetik api dan minyak petrol.
  • Kes diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mangsa meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, penahanan itu dibuat selepas polis mengklasifikasi semula siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Suspek telah ditahan dan masih dalam tempoh tahanan reman sehingga 15 Mac ini untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat mendapati kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam, Rabu lalu, berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa yang berusia 31 tahun dengan suspek, kenalan lelakinya yang berusia 29 tahun.
“Pertengkaran itu kemudiannya berlarutan sehingga berlaku insiden menggunakan pemetik api dan minyak petrol, menyebabkan kebakaran di rumah tersebut. Api yang marak turut menyambar bahagian badan mangsa dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan akibat kebakaran dan menerima rawatan di HSNI.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur dengan tahap kebakaran sekitar 74 peratus, manakala suspek mengalami kecederaan sekitar 13.5 peratus.
“Rumah berkenaan pula terbakar sekitar 30 peratus daripada keseluruhan struktur,” katanya.
Beliau memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati kes itu pada peringkat awal disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat membinasakan rumah.
Bagaimanapun beliau berkata, selepas mangsa meninggal dunia sekitar jam 9.54 malam, pada Ahad, siasatan diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ujar beliau, mangsa dan suspek dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
Katanya, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dan BBP Batu Pahat, dibantu lima jentera, dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
Sebelum ini, wanita berkenaan mengalami kecederaan parah kerana melecur seluruh badan sehingga terpaksa ditidurkan.
Bagaimanapun, mangsa yang terlibat dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Sri Gading pada Sabtu lalu itu telah disahkan meninggal dunia dan selamat dikebumikan pada Isnin. -Sinar Harian
#Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Kampung Baru Sri Gading #ibu tiga anak maut #kebakaran rumah
;