Ibu tidak sangka telatah anak petanda mereka akan pergi buat selamanya

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 10, 2019 11:30 MYT
Rosziati berkata telatah dua anaknya seakan memberi petanda mereka akan pergi buat selamanya. -Astro AWANI
Kegembiraan pulang menyambut Hari Raya Aidiladha dua beradik bersama ayah, ibu tiri dan ibu saudara di Kampung Brisu, Alor Gajah bertukar tragedi apabila kelima-lima mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Jelatang, Alor Gajah malam tadi.
Ibu kepada dua remaja itu, Rosziati Muktar berkata dua anaknya, Alia Azahar, 17, dan Alissa Azahar, 15, seakan memberi petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya apabila mula menunjukkan kelakuan luar biasa sejak kebelakangan itu.
Antaranya, mereka kerap ingin mencium tangan ibu mereka serta sering kali memuat naik status di aplikasi WhatsApp berhubung keinginan untuk bermandi-manda.
Ujar perunding kecantikan berusia 36 tahun itu, dia sudah merancang untuk membawa dua anak kesayangannya itu ke taman tema air di Batu Pahat, namun terpaksa membatalkan hasrat itu selepas bapa mereka yang menetap di Perak ingin mengambil dua remaja berkenaan.
"Dia cakap sentiasa update status dekat WhatsApp yang dia teringin nak mandi kat Wet World Batu Pahat, mandi-mandi, sebab itulah saya adjust cuti untuk bawa mereka pergi Selasa ini."
Kata Rosziati, dia menerima panggilan daripada polis sekitar 10.30 malam tadi sejurus pulang dari tempat kerja.
Katanya lagi, pada awalnya dia menyangka anak-anaknya hanya mengalami kecederaan sebelum dihubungi semula polis yang memaklumkan anak-anak serta bekas suaminya maut.
Ujar Rosziati, kali terakhir mereka berhubung dengannya ialah sekitar 6.30 petang Jumaat yang memaklumkan mereka singgah makan di Muar selepas diambil oleh bekas suaminya sekitar 3.30 petang.
Katanya, dia difahamkan, dua anaknya bersama bekas suami dan isteri yang baharu dikahwini serta kakaknya yang tinggal sebatang kara akan menyambut Aidil Adha di kampung halaman suaminya di Alor Gajah.
Terdahulu dalam kejadian sekitar 9.40 malam itu, dua beradik berkenaan disahkan maut selepas kenderaan dipandu bapa mereka, Azahar Ahmad, 57, dirempuh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
Turut terkorban ibu tiri Halimahtun Aris Padzil, 24, dan ibu saudara Habibah Ahmad, 62, yang menaiki kenderaan sama.
BACA: Enam termasuk lima sekeluarga maut kenderaan bertembung
#Alia Azahar #Alissa Azahar #Azahar Ahmad #kelakuan luar biasa #nahas lebuh amj #petanda pergi buat selamanya #Rosziati Muktar #Wet World Batu Pahat
;