Ibu terlantar akibat kanser, tiga anak derita pelbagai penyakit kronik

Adie Sufian Zulkefli
Januari 12, 2024 11:45 MYT
Nashieha Hassan terlantar dan tidak mampu bergerak selepas disahkan menghidap kanser radang hati, tiga bulan lalu.
KUALA KEDAH: Sebelum ini kesihatannya sangat baik dan mampu menguruskan tiga anaknya yang mengalami pelbagai penyakit.
Namun kini, Nashieha Hassan, 38, terlantar dan tidak mampu bergerak selepas disahkan menghidap kanser radang hati, tiga bulan lalu.
Lebih malang dia turut disahkan menghidap penyakit hempedu, batu karang, paru-paru dan sakit jantung.
Menurut Nashieha, dia baru selesai menjalani pembedahan di bahagian hati seminggu yang lalu dan selepas pembedahan itu dia tidak dapat bergerak.
Katanya, sebelum ini dia mengambil upah menjahit pakaian bagi membantu suaminya yang hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.
Kesulitan hidup Nashieha juga tambah berganda kerana sebelum terlantar sakit, dia juga menjaga tiga anaknya, Annisa Shazwanee Mohd Ghazali, 22, yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak kecil dan anak ketiga, Annis Irna Najihah, 17, pula menghidap kencing manis kronik.
“Sebelum ini memang saya boleh uruskan anak-anak semua. Dahulu sakit pun saya masih kuat tetapi sekarang sejak jalani pembedahan saya tidak mampu bergerak dan hanya terlantar.
“Saya kasihankan suami dan anak-anak yang terpaksa menguruskan saya sedangkan mereka juga tidak sihat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan, di sini.
Sementara itu, anak kedua Nashieha, Annis Irdahanini, 20, menghidap kanser payu dara.
Katanya, penyakit itu dikesan kira-kira lima tahun lalu selepas mendapati terdapat ketulan kecil di payu dara kirinya.
Nashieha juga berkata, ketulan itu berjaya dikesan di peringkat awal dan menjalani pembedahan membuang ketulan itu pada tahun 2019.
Menurut Annis, dia hanya bersekolah sehingga tingkatan dua saja dan terpaksa berhenti sekolah sebelum menyambung pengajian di Pusat Giat Mara dalam bidang kemahiran kecantikan.
“Selepas tamat pengajian saya tidak bekerja kerana perlu menjaga emak.
“Keadaan penyakit saya baik tetapi ada ketika saya terasa sakit di tempat pembedahan dan badan saya akan rasa lenguh-lenguh,” katanya.
Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nashieha (0299541100375112) atau menghubunginya di talian 011-39279007.
#penyakit kronik #kanser #Nashieha Hassan #ibu terlantar
;