Ibu terkejut anak dikhuatiri lemas di Australia

Astro Awani
Ogos 31, 2020 18:29 MYT
Rosidah dihubungi anak saudaranya yang berada di sana, memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya. -Astro AWANI
Luluh hati seorang ibu yang sudah empat tahun tidak bertemu anaknya di Kampung Lata Bedal, Kuala Krai di sini, apabila mendapat tahu dia dikhuatiri lemas di Australia.
Dalam kejadian jam 2 petang waktu tempatan pada Sabtu di Little Beach, New South Wales itu, Nik Hafizi Nik Long, 25, dikatakan dihanyutkan arus selepas tergelincir ke dalam laut.
Terdahulu, difahamkan dia bersama lima sepupunya ke lokasi berkenaan untuk memancing.
Menurut ibunya, Rosidah Abdul Manaf, 54, dia dihubungi anak saudaranya yang berada di sana, memaklumkan kejadian yang menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu.
"Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya. Dia pergi ke Australia pada 2016 untuk bekerja di sana.
"Sampai sekarang saya belum bertemu dia. Dia pernah kata nak balik bulan depan. Bila dapat berita itu, rasa sedih sangat.
"Saya harap sangat nak tengok dia... kalau mayatnya ditemui saya nak tengok juga... kalau mayatnya tidak dapat dihantar balik, tengok gambar pun cukup," katanya di sini, hari ini.
Dia berkata, kali terakhir Nik Hafizi menghubunginya adalah pada 20 Ogos lalu melalui panggilan video dan mengingatkannya supaya sentiasa menjaga kesihatan.
Katanya, sehingga kini, mayat Nik Hafizi belum ditemui dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan pihak berkuasa negara itu.
Rosidah sentiasa dimaklumkan perkembangan operasi SAR tersebut oleh anak saudaranya yang berada di lokasi kejadian.
#Allah #anak #anak lelaki #arus #Australia #dikhuatiri lemas #hanyut #kesihatan #Kuala Krai #laut #lemas #mayat
;