Ibu terharu anak mula sedar selepas tiga tahun koma
Astro Awani
Jun 15, 2016 21:35 MYT
Jun 15, 2016 21:35 MYT
Penantian seorang ibu untuk melihat anaknya yang koma selama tiga tahun untuk sedar semula sedikit terubat apabila anaknya mula sedar dan memberi reaksi positif sejak setahun lalu.
Walaupun tidak dapat memberi tindak balas sepenuhnya, namun melihat Chan Yi Yian, 11, membuka semula mata dan menggerakkan jari sudah cukup menggembirakan hati Chan Lai Khin, 40.
Menceritakan keadaan anaknya, Lai Khin berkata, Yi Yian hanya mengalami demam panas biasa sebelum koma pada tahun 2013.
Sejak dari itu katanya, Yi Yian sudah tidak lagi mampu melakukan sebarang pergerakan malah tidak pernah membuka matanya, dipercayai akibat dijangkiti virus selesema H1N1 ketika berusia tujuh tahun.
“Selepas tersedar 10 minit selepas ubat diberikan kepadanya. Dia terus bertanya mengapa dia dalam keadaan seperti itu.
“Dia juga berkata bahawa dia tidak merasai anggota tangan dan kakinya. Ketika itu matanya hanya memandang ke atas,” ujar Lai Khin.
Ibunya yang telah merujuk perkembangan itu kepada doktor menambah, anaknya juga tiba-tiba demam panas lalu diberikan rawatan seterusnya dipindahkan ke hospital besar.
Katanya, dalam tempoh setahun, Yi Yian mula menunjukkan reaksi positif dan boleh menggerakkan anak mata sebagai tindak balas walaupun tidak mampu berkomunikasi.
Menurut Lai Khin, dia dan suami yang sudah tidak bekerja kerana terpaksa menjaga Yi Yian yang memerlukan rawatan rapi dan perhatian selama 24 jam dan amat berharap anak tunggal mereka sembuh seperti sediakala.
“Kami hanya lakukan apa yang kami mampu lakukan. Kami juga berbual apa yang boleh dengannya. Kami harap suatu hari nanti dia akan sedar dan tahu segalanya seperti sediakala,” ujarnya.
Sementara itu, penderitaan keluarga Lai Khin mendapat perhatian daripada Lions Club Of George Town, yang berkunjung ke kediaman keluarga itu di Tanjung Bungah pada Rabu bagi menghulurkan sumbangan hasil kutipan derma orang ramai.
Presiden kelab, Tan Kheng Liat berkata, sumbangan bernilai 27,000 itu diharapkan dapat meringankan beban keluarga Yi Yian yang terpaksa menanggung kos perubatan, susu dan lampin pakai buang yang mencecah RM3,000 sebulan.