'Ibu sedia makanan sejak seminggu lalu' - Anak mangsa kemalangan

Abd Razak Mohd Ali
Februari 18, 2018 07:49 MYT
Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Audi, Perodua Kenari dan pacuan empat roda Isuzu D-Max. - PDRM
Anak sulung salah seorang mangsa kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli menceritakan kelakuan pelik ibunya.
"Ibu sediakan makan untuk saya tiap-tiap hari dalam seminggu ni. Benda tu memang dia jarang buatlah, kalau saya tak mahu makan pun dia bungkus," kata Muhd Rohaizad Azizan, 32 tahun.
Rohaizad adalah anak sulung kepada Allahyarham Wan Teh Abdul Aziz, 54, yang maut dalam kemalangan di KM45.4, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini tengah hari semalam membabitkan kereta Audi, Nissan Frontier dan Perodua Kenari.
Kemalangan pukul 1 tengah hari itu turut mengorbankan adiknya Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, serta dua lagi mangsa yang menaiki Nissan Frontier.
BACA: Empat maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Gerik
Rohaizad yang ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Gerik malam tadi berkata, ibu dan ayahnya, Azizan Desa, 60, pergi ke Kelantan bersama seorang lagi adiknya Nurul Khairulnissa Azizan, 19, untuk menghadiri kenduri kahwin dengan menaiki kereta Audi yang dipandu ayahnya.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa ibu dan adik bongsu pada Khamis lalu dan tidak sempat bertemu mereka sebelum bertolak ke Kelantan kerana pergi bercuti bersama anak dan isterinya.
"Kira-kira jam 2 petang Ahad saya mendapat panggilan telefon daripada individu memaklumkan keluarga saya terbabit kemalangan sebelum bergegas ke Hospital Gerik dan tiba kira-kira jam 6 petang.
"Saya dimaklumkan oleh adik perempuan yang terselamat, ayah sedar sepanjang kejadian berlaku sehinggalah dirawat di hospital dan diberi ubat penenang kerana dipercayai mengalami pendarahan dalaman serta terpaksa dipindahkan ke Hospital Taiping," katanya.
Menurutnya, walaupun sedih kehilangan ibu yang memang rapat serta adik bongsunya, dia redha dengan apa yang berlaku.
Rohaizat memberitahu, jenazah ibu dan adiknya itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah berhampiran dengan kediaman ibu bapanya itu di Bandar Perdana.
#Gerik #jeli #maut #meninggal dunia #Muhd Rohaizad Azizan
;