Ibu sedang menyusu anak ditahan positif syabu
Sinar Harian
November 27, 2019 16:34 MYT
November 27, 2019 16:34 MYT
Seorang wanita yang sedang menyusukan anak berusia tiga bulan antara 51 penagih ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan dalam serbuan Ops Perdana di Port Dickson di sini semalam.
Pengarah AADK negeri, Suhaimi Abu Bakar berkata, operasi yang dijalankan di sekitar daerah Port Dickson berkenaan hasil aduan orang awam dan risikan yang dilakukan.
"Dalam operasi dilakukan, seramai 87 individu telah diperiksa dan 51 daripadanya positif dadah yang mana 46 adalah lelaki dan lima wanita.
"Ketika serbuan di sebuah rumah, kita turut menahan seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya berusia tiga bulan selepas didapati positif syabu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, wanita berusia 36 tahun itu memberitahu mempunyai lima anak termasuk bayi berkenaan dan mendakwa baru terbabit dengan penagihan dadah tiga hari lalu di Kuala Lumpur.
Suhaimi berkata, pihaknya akan membantu wanita itu untuk mendapatkan advokasi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk proses penjagaan anaknya demi menjamin keselamatan serta kesihatan mereka.
"Hasil saringan dilakukan, 46 didapati positif syabu manakala lima positif opiat dibawa ke Pejabat AADK untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.