Ibu sebak terima ijazah arwah anak
Sinar Harian
Oktober 13, 2018 07:37 MYT
Oktober 13, 2018 07:37 MYT
Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila menggantikan arwah anaknya menerima ijazah daripada Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Zabedah Hamid berkata, anaknya Noor Airen Umirah yang sepatutnya berada di pentas sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kelapan itu, untuk menggenggam sendiri Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) miliknya.
Namun katanya, Allah lebih menyayanginya apabila pada 29 Mei lalu anak sulungnya itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, selepas koma akibat komplikasi jantung.
“Sepatutnya kakak (arwah) naik pentas hari ini, bukan saya. Saya dan suami hanya duduk di bawah ini tengok dia gembira terima ijazah hasil usahanya siang dan malam.
“Memang sedih sangat, tambah-tambah lagi kami tidak berada di sisinya ketika hayat akhirnya. Hari ini bila tengok sekeliling dan jumpa kawan sebilik arwah hati kami terusik.
"Tetapi kami bangga dia seorang anak yang baik,” kata Zabedah, 44 tahun, kepada media pada Jumaat.
Suri rumah sepenuh masa itu juga berkongsi perbualan terakhir mereka pada 28 Mei, sehari sebelum kematian, yang mana anaknya meminta dia tidak menziarahinya kerana sudah sihat dan akan keluar hospital selepas mendapat keputusan ujian darah.
“Hari ini genap 136 hari pemergiannya. Dia pergi tanpa sebarang perubahan dan kami teringat sikapnya yang manja. Makan perlu bersuap. Dengan kawan-kawan pun dia manja,” katanya.
Zabedah bersama suaminya Azmi Osman yang datang dari Pulau Pinang itu turut bangga dengan kejayaan anaknya yang setiap semester mendapat anugerah dekan.
Ibu kepada dua anak itu juga berkata, Noor Airen Umirah pernah menyuarakan impiannya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menerima ijazah.
#anugerah dekan
#arwah
#ibu
#ijazah
#koma
#meninggal dunia
#pulau pinang
#sakit jantung
#sebak
#Universiti Malaysia Kelantan