Ibu sanggup redah hujan 50km hantar anak daftar di USM

Astro Awani
Oktober 4, 2020 11:42 MYT
Muhammad Izzulhaq jalani kehidupan sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM). -Foto USM
IBU ini hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Kerana itu dia sanggup meredah perjalanan sejauh 50 kilometer dengan menunggang motosikal dalam keadaan hujan lebat untuk menghantar anak sulungnya Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, ke Universiti Sains Malaysia (USM).
Kelibat dua beranak itu menarik perhatian ramai apabila hadir menaiki motosikal dalam keadaan basah kuyup.
Namun semua itu tidak penting bagi Jumiati Masud. Ibu berusia 53 tahun ini bersyukur kerana masih boleh membuat pilihan dalam memberikan keselesaan buat anak lelakinya itu menimba ilmu pengetahuan dalam suasana yang lebih kondusif, dan merasai kehidupan baharu sebagai mahasiswa universiti.
Jumiati yang tinggal di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan berkata beliau mengambil maklum dengan situasi semasa yang mana USM memberi tiga pilihan utama untuk para pelajar baharu mendaftar diri secara rasmi sebagai warga kampus.
Pilihan berkenaan termasuk hadir mendaftar dan pulang bersama waris; hadir mendaftar, menempatkan barang dalam desasiswa dan pulang; atau mendaftar dan terus tinggal di asrama.
"Saya memilih untuk anak saya tinggal di asrama.
"Biarlah Muhammad Izzul belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan wifi atau sebagainya," kata ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini yang menjual kuih sebagai punca pendapatan menyara keluarga.
Mengulas mengenai kegigihan dan pengorbanannya meredah perjalanan yang agak jauh dengan motosikal, jawabnya ringkas: "Semua ibu akan lakukan yang terbaik untuk anak-anaknya."
"Saya hanya mahu mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan jadi insan yang berguna.
"Saya juga bersyukur dan gembira kerana hasrat Muhammad Izzulhaq untuk melanjutkan pengajian di USM dalam jurusan pendidikan dimakbulkan Allah," ujarnya lagi.
Beliau juga bersyukur kerana anaknya diterima masuk ke USM kerana jaraknya tidak begitu jauh dari rumah, dan masih dalam negeri yang sama.
"Sebelum ini Muhammad Izzul pernah menerima tawaran dari sebuah universiti di Kuala Lumpur namun kami terpaksa menolak kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan," katanya sambil mengakui hanya motosikal sebagai pengangkutan utama mereka sekeluarga menjalankan urusan harian.
Sementara itu, Muhammad Izzulhaq ketika ditemu bual turut menzahirkan rasa terharu dengan pengorbanan ibunya dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memberikan kesenangan kepada ibunya.
"Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke Simpang Empat. Namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya.
"Saya berdoa Allah permudahkan urusan saya untuk menuntut ilmu di USM," katanya yang mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 3.96 dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Muhammad Izzulhaq mendapat jurusan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan ditempatkan di Desasiswa Restu.
Beliau adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021, di sini, hari ini.
#Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan #Universiti Sains Malaysia #USM #Jumiati Masud #mahasiswa universiti
;