Ibu rindu anak meninggal dunia tanpa pusara

Muhafandi Muhamad
April 27, 2022 07:30 MYT
Che Minah menunjukkan baju Melayu kepunyaan anak bongsunya itu. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Hanya baju Melayu pengubat rindu seorang warga emas terhadap anaknya yang meninggal dunia tetapi tiada pusara.
Seorang warga emas di Kampung Prak di Gua Musang, Kelantan masih merasai kesedihan kehilangan anak bongsu yang meninggal dunia selepas jasadnya hilang dihanyutkan arus Sungai Nenggiri.
Walaupun lima tahun tragedi itu berlaku, Che Minah Yaakob, 70 tahun berkata, sebagai seorang ibu, hatinya berasa rindu dan sayu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri mengenang insan kesayangannya itu.
Katanya, biarpun mempunyai lapan orang anak namun anak bongsunya itulah yang sering bersama menemaninya.
"Simpan baju ini yang mak cik pakai sendiri. Apabila mak cik teringat kat dia, makcik pakai.
"Baju melayu ini kali terakhir dia pakai ketika hari raya. Dialah yang paling rapat dengan mak cik. Ke mana mak pergi, dia akan ikut. Meroneh getah pun bersebelahan," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, 23 Januari 2017 lalu, Adnan Che Soh, 29, gagal menyelamatkan diri apabila motosikal ditungganginya terjatuh dari atas jambatan sementara Kampung Pulau Setelu.
Mangsa yang turut menghidap penyakit sawan hilang selepas terjatuh dari atas jambatan itu dan dipercayai telah dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri.
Selepas kejadian hanya motosikalnya dijumpai tersangkut pada besi jambatan itu, manakala mangsa gagal ditemukan sehingga sekarang walaupun operasi mencarinya telah dilakukan selama sebulan.
Menurut Che Minah, kini dia reda dan menerima takdir Tuhan jasad anaknya hilang dibawa arus deras sungai itu.
#warga emas #anak #meninggal dunia #pusara
;