Ibu reda pemergian anak, tidak berdendam dengan pemandu bas

Sinar Harian
Mei 27, 2022 18:40 MYT
Mangsa, Zahida Mohammmad Kassim adalah anak bongsu daripada tujuh adik-beradik. - Foto Sinar Harian
SEPANG: Ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan, yang maut dilanggar bas sekolah di Salak Tinggi dekat sini semalam, berharap agar polis tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit.
"Saya dan suami reda dengan pemergian anak kami, malah tidak berdendam dengan pemandu bas tersebut," kata Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, ibu kepada kanak-kanak itu ketika ditemui media di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, beliau dan suami belum berjumpa pemandu itu, namun lelaki berusia 50 tahun itu ada menelefonnya dan memohon maaf.
"Saya pun tak boleh nak salahkan abang bas itu sebab dia pun dah trauma sangat, lagi pun dia susah dan bas dia kena sita," katanya.
Pembantu kantin itu dalam nada hiba berkata, walaupun kehilangan anaknya itu meninggalkan kesan mendalam, dia rela hati memaafkan pemandu bas berkenaan.
Mangsa, Zahida Mohammmad Kassim adalah anak bongsu daripada tujuh adik-beradik.
Menurut Zainab, dia sudah lama mendapatkan khidmat pemandu itu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.
Katanya, ketika hari kejadian dia dan suami sedang bekerja manakala anak-anak mereka dijaga oleh ibu mentuanya.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#kemalangan bas sekolah #zainab mohideen abdul kadar #zahida mohammad kassim #dilanggar bas sekolah
;