Ibu rayu 'mummy', 'mama' pulangkan Nur Natassya
Shafiq Noordin
Mac 5, 2017 21:27 MYT
Mac 5, 2017 21:27 MYT
Seorang ibu merayu agar anak gadisnya berusia 13 tahun dipulangkan semula kepada keluarganya selepas didakwa dilarikan oleh dua wanita sejak 25 Februari lalu di Pangsapuri Seri Kepayang, di sini.
Norlila Ahmad, 47, berkata, anaknya Nur Natassya Fazilla Entaban telah dibawa lari oleh sepasang wanita dikenali sebagai “mummy” dan “mama” masing-masing berusia 30an yang juga dipercayai merupakan ibu angkat kepada anaknya tersebut.
“Sekitar jam 5 petang hari kejadian anak saya cakap hendak keluar ke kedai di hadapan rumah tetapi sehingga jam 8 malam dia tidak balik-balik. Saya turun tanya orang kedai katanya dia dah naik teksi dengan ibu angkat.
“Saya kemudian ke rumah ibu angkat itu di Taman Cempaka rupa-rupanya rumah itu dah dikosongkan dan difahamkan ibu angkat itu hendak berpindah ke Melaka, esok itu juga saya buat laporan polis,” katanya beliau ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya dekat Pangsapuri Seri Kepayang hari ini.
Tambahnya, selepas tiga hari laporan polis dibuat, salah seorang ibu angkat terbabit telah memaklumkan kepada pihak polis akan memulangkan Natassya kepada keluarga pada hari sama namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.
“Polis yang hubungi ibu angkat terbabit, mereka janji nak pulangkan tapi sehingga hari ini masih lagi tidak pulangkan malah telefon juga mereka telah matikan.
“Saya sendiri tidak tahu anak saya mempunyai ibu angkat, hanya baru-baru ini saja saya tahu kewujudan dua wanita berkenaan,” ujarnya sedih.
Norlila juga memberitahu sebelum ini anak kelapan daripada 11 beradik itu juga pernah dibawa lari oleh wanita-wanita tersebut namun sempat dihalang oleh pihak keluarga.
“Saya hanya tahu kewujudan mereka (ibu angkat) ini lima hari sebelum anak saya hilang, seharian Natassya hilang kami cari rupa-rupanya dia ada di rumah mereka (ibu angkat).
“Malam itu juga kami ke rumah wanita-wanita itu dan ambil balik Natassya, tapi tak sangka mereka akan buat semula perkara ini untuk kali kedua…tapi kali ini terus hilang,” kata beliau.
Justeru itu, Norlila merayu kepada orang ramai untuk menghubungi pihak polis sekiranya ternampak atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan anaknya itu.
“Anak saya ni lembut dan manja..tolong saya cari dia..saya risaukan sangat apa yang akan terjadi kepada dia.
"Mummy dan Mama kalau ternampak ini tolong sangat-sangat pulangkan Natassya. Saya sanggup berbincang kalau betul-betul nak ambil anak saya jadi anak angkat, kita boleh berkongsi dia sebagai satu keluarga..tolong jangan buat macam ini," rayunya.