Ibu rayu masyarakat jangan kecam anaknya
Sinar Harian
April 7, 2018 13:13 MYT
April 7, 2018 13:13 MYT
Ibu kepada remaja yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental selepas video remaja itu dalam keadaan berbogel tular di laman sosial Facebook, memohon masyarakat supaya tidak melontar kata-kata negatif terhadap perlakuan anaknya itu.
Video berkenaan yang berdurasi kira-kira seminit, dirakamkan seorang pengguna jalan raya di Telok Mas, di sini, petang semalam.
Noraishah Nordin, 50, berkata, walaupun terkilan dengan penyebaran video berkenaan, namun dia tidak menyalahkan individu yang merakam kejadian itu kerana mereka tidak tahu penyakit dihidapi anak keempat daripada lima beradik itu yang dikenali sebagai Nadzmi, 20.
Menurutnya, ketika kejadian itu, dia tiada di rumah kerana keluar bekerja dan anaknya itu dikatakan ke kedai berhampiran.
“Ketika keluar dari rumah, dia lengkap berpakaian dan saya juga terkejut dia keluar dengan menunggang motosikal.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali perkara sama berlaku serta ada juga laporan polis dibuat orang awam kerana bimbang, malah semalam, anggota polis turut datang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pernu di sini, hari ini.
Noraishah berkata, dia tidak minta untuk anaknya berkelakuan sebegitu tetapi disebabkan penyakit semua berlaku di luar kawalan.
“Sudah ketentuan ALLAH untuk kami diuji sebegini. Walaupun perit kami reda selain berharap agar dia dapat kembali normal.
“Kami sekeluarga memantaunya bukan bersikap lepas tangan tetapi ada masanya semua berlaku di luar kawalan.
Tiada ibu bapa yang mahu anaknya jadi seperti ini.
“Jika fikirannya tidak terganggu, dia akan bercakap seperti biasa malah dapat membaca al-Quran dengan sempurna serta mendengar nasihat,” katanya.
Noraishah memberitahu, anaknya itu seorang pelajar pintar malah memperoleh 9A, 2B pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 dan Nadzmi kemudian menyambung pelajaran peringkat program asasi di sebuah universiti di Gombak, Selangor.
Dakwanya, bagaimanapun Nadzmi hanya menamatkan satu semester sahaja selepas diminta menangguhkan pelajaran oleh pihak universiti selepas dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental.
“Selepas tidak dapat lagi meneruskan pengajian, dia amat kecewa sehingga kami tidak dapat menyebut nama universiti berkenaan,” katanya.
Katanya, dia dan suami Roslan Jinu, 57, bersama ahli keluarga lain kini berusaha mengubati anaknya itu, selain berjumpa pakar psikiatri, mereka juga mencuba perubatan tradisional.