"Ibu pesan, teruskan hidup jika dia sudah tiada" - anak mangsa kemalangan di Australia

Adie Sufian Zulkefli
Februari 9, 2021 23:10 MYT
Menurut kakak sulung, Rushaniena Izani Rusman, (tengah) ibunya berpesan sekiranya dia sudah tiada nanti, jangan menangis tapi sentiasa sedekahkan bacaan surah Yasin setiap kali teringatkan ibu.
KULIM: Hanya pesanan terakhir ibu kini menjadi kekuatan buat mereka bertiga untuk teruskan hidup.
Menurut kakak sulung, Rushaniena Izani Rusman, 26, ibunya berpesan sekiranya dia sudah tiada nanti, jangan menangis tapi sentiasa sedekahkan bacaan surah Yasin setiap kali teringatkan ibu.
Katanya, itulah pesanan terakhir sebelum ibunya berangkat ke Australia pada 21 Februari tahun lalu.
Menceritakan kembali sebelum ibunya pergi, pada mulanya dia berat hendak melepaskan ibunya pergi ke sana disebabkan ketika itu berlaku kebakaran besar di negara itu.
Namun, sebaik ibunya berada di sana mereka bertiga hanya berhubung melalui panggilan telefon apabila rindu dan arwah ibu selalu pesan supaya saya jaga adik-adik.
"Sebelum itu ada jugalah rasa tidak sedap hati, seperti tertanya adakah dia okay dekat sana, tambahan pula ibu kerap mengadu sakit gastrik.
"Sikit-sikit dia mengadu sakit macam-macam, terfikir jugalah tahap sakit itu macam mana, kerana ibu memang tidak henti-henti mengadu rasa sakit, itu kadang-kadang terfikir macam-macam," jelasnya.
BACA: Keluarga mohon bantuan tampung kos bawa pulang jenazah Rabitah dari Australia
Dalam pada itu, anak kedua Rabitah, Ridwana Ardini, 19, berkata, sepatutnya dia akan berangkat ke Australia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tinggal bersama ibunya di sana.
Katanya, dia kasihan melihat ibunya seorang diri di sana namun takdir memisahkan mereka.
"Ibu tidak bagi sambung belajar kerana ibu suruh duduk dengan dia sebab dia tinggal seorang diri, dia suruh kerja sekali dengan dia di sana, suruh teman dia di sana kerana tinggal berseorangan.
"Dia seorang sahaja, selalunya kalau dia sakit saya boleh tengok dia dan jaga dia, namun disebabkan oleh COVID-19 ini, kami tidak boleh ke sana berjumpa dengan ibu," luah Ridwana.
Adik bongsunya Rafiq Afif, 14, berkata, pada mulanya dia ingat perkara kematian ibunya hanya mainan tetapi tak sangka rupanya ibu mereka pergi buat selamanya.
Katanya, ibu selalu pesan supaya belajar bersungguh-sungguh dan duduk baik-baik dengan dua kakaknya sepanjang dia tiada di sisi.
"Sedekahkan surah Yaasin buat ibu..."
Dia sering teringatkan ibu dan jika boleh dia dan kakaknya ingin menatap wajah ibu sebelum dikebumikan.
Dalam kejadian pada Isnin, Rabitah Hamed, 49, maut setelah terlibat dalam kemalangan dipercayai cuba mengelak haiwan yang melintas di Griffith, Australia.
Mangsa maut di tempat kejadian selepas terpelanting keluar dari kereta dipandunya lalu terjatuh di dalam tali air berdekatan.
#COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKP #kemalangan #Australia #Rabitah Hamed #Rushaniena Izani Rusman #Ridwana Ardini #Rafiq Afif #Griffith
;