Ibu meraung lihat anak maut kemalangan

Sinar Harian
April 9, 2024 15:46 MYT
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
MELAKA: Seorang wanita tidak dapat menahan sebak apabila melihat anak lelakinya yang telah ditutup kain putih selepas maut dalam kemalangan di Jalan Tanjong Minyak, Bukit Rambai, di sini awal pagi Selasa.
Kejadian kira-kira jam 1.04 pagi itu, menyebabkan mangsa Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan.
Video wanita itu sebak dan gagal mengawal emosi selepas melihat mayat anaknya di lokasi insiden tular di media sosial.
Menerusi video berdurasi 19 saat itu, wanita terbabit dan beberapa individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit memanggil nama mangsa yang sudah tidak bernyawa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai dalam dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Bukit Rambai ke Tanjung Minyak.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Honda City dipandu pelajar universiti berusia 22 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh waris keluarga.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#ibu meraung #anak maut kemalangan #Bukit Rambai Melaka #motosikal bertembung kereta
;