Ibu mentua Presiden Pas meninggal dunia
Sinar Harian
November 13, 2024 18:16 MYT
November 13, 2024 18:16 MYT
MARANG: Ibu mentua Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Belubur, Rusila di sini pada Rabu.
Allahyarham Dayang Abdullah, 90, menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua sekitar jam 12.20 tengah malam tadi.
Solat jenazah Allahyarhamah diimamkan sendiri oleh Abdul Hadi di Masjid Rusila sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rusila sekitar jam 10 pagi pada Rabu.
Berita kematian Allahyarham Dayang dimaklumkan menerusi hantaran di laman sosial Abdul Hadi sekitar jam 1.30 tengah hari.
Beliau turut berkongsi rasa sebak dan sedih atas kehilangan ibu mentuanya itu.
"Terasa sebak dan sedih di jiwa mendengarkan khabar pemergian ibu mentua, Dayang Abdullah.
"Pemergiannya menggores rasa pilu buat seluruh anggota keluarga yang sangat rapat dengannya.
"Meski tidak lagi bersama, doa terhadapmu akan terus mengalir, mengiringi perjalanan menuju tanah abadi.
"Semoga mendapat rahmat daripada ALLAH SWT, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin," tulisnya.
Sementara itu, cucu Allahyarhamah, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut berkongsi kesedihan atas kehilangan neneknya itu.
"Dengan hati yang pilu, saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang sangat saya sayangi, iaitu tok saya yang telah pergi menghadap Ilahi.
"Kehilangannya amat dirasai dan meninggalkan kekosongan yang tak terganti dalam hidup kami sekeluarga," katanya.
Kata Muhammad Khalil, Allahyarhamah Dayang bukan sahaja seorang nenek, tetapi juga sumber kekuatan dan inspirasi buatnya sekeluarga.
"Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah, ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan segala amal kebaikannya diterima.
"Tok, kenangan bersamamu akan kami kenang dan simpan dalam hati selamanya," luah Muhammad Khalil. -- Sinar Harian