Ibu Menteri Besar Perak meninggal dunia
Abd Razak Mohd Ali
Januari 10, 2023 07:40 MYT
Januari 10, 2023 07:40 MYT
IPOH: Ibu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Aminah Mohd Yusuf meninggal dunia pada jam 11.15 malam tadi akibat sakit tua.
Allahyarham yang berusia 75 tahun, menghembuskan nafas terakhir di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, di sini.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, jenazah akan dimandi dan dikafankan di kediaman Menteri Besar Perak, pagi ini.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Kampung Raban, Lenggong untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut, kira-kira jam 11 pagi.
Allahyarham meninggalkan sembilan orang anak termasuk Saarani yang merupakan anak sulung.