Ibu mengandung disaran ambil vaksin pada tempoh 14 hingga 33 minggu hamil - Khairy

Hilmi Malik
Mei 25, 2021 14:49 MYT
Melalui ciri baharu di aplikasi MySejahtera, golongan tersebut dapat mengenal pasti diri mereka dan membuat janji temu untuk pemberian vaksin yang disyorkan kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
PUTRAJAYA: Pemberian vaksin COVID-19 terhadap golongan ibu mengandung hendaklah terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan.
Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, golongan ini disarankan untuk menerima vaksin pada tempoh 14 hingga 33 minggu hamil berdasarkan panduan yang telah dikeluarkan.
“Bagi mengenal pasti golongan ibu mengandung dan ibu menyusu satu ciri baharu di MySejahtera akan diperkenalkan pada hujung minggu ini.
“Apabila ia telah diperkenalkan golongan tersebut boleh mengenal pasti diri mereka melalui MySejahtera untuk janji temu diberikan kepada mereka bagi pemberian vaksin yang disyorkan,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa.
Sebelum ini, Khairy memaklumkan, pemberian vaksin terhadap golongan tersebut disyorkan kepada penggunaan vaksin Pfizer.
Ini termasuk arahan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk menyelaras dengan beberapa hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada golongan tersebut.
#COVID-19 #vaksin #Pfizer #menteri #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #ibu mengandung
;