Ibu mengandung 34 minggu, warga emas nekad redah banjir

Nur Fazlizai Ali
November 24, 2020 13:41 MYT
Haslini yang hamil 34 minggu berkata, keputusan meredah banjir terpaksa dilakukan kerana bimbang paras air akan meningkat dan menyukarkan pergerakan mereka. - Gambar Astro AWANI
KUALA NERUS: Seorang ibu mengandung bersama tiga anaknya nekad meredah air selepas kediaman di Taman Murni Permai, Tok Jembal dilanda banjir.
Haslini Mohd @ Hashim yang hamil 34 minggu berkata, keputusan itu terpaksa dilakukan kerana bimbang paras air akan meningkat dan menyukarkan pergerakan mereka.
Menurut Haslini, ketika kejadian, dia bersama tiga anaknya yang berusia antara empat hingga tujuh tahun berada di rumah manakala suaminya, Azizi Mohamad, 37, yang juga seorang polis bantuan sedang bekerja.
Kata Haslini, tindakan nekad meredah air itu dibuatnya kerana bimbang dengan bintang berbisa dan berbahaya yang lazimnya kelihatan semasa musim banjir.
“Redah heret anak-anak (sebab) sebab ada rumah (jiran) dimasuki dua ekor ular, kita bimbang juga (keselamatan) anak-anak... namun Alhamdulillah, setakat ini tiada apa yang berlaku,” kata Haslini.
Menurutnya lagi, dia bersama keluarga juga sudah membuat persiapan awal dengan memindahkan barangan ke tempat yang selamat kerana sudah biasa dengan kehadiran musim tengkujuh.
Suri rumah itu berkata, sebelum ini, dia juga terpaksa menghuni di pusat pemindahan sementara ketika sarat mengandung anak keduanya pada insiden banjir besar 2014.
Sementara itu, seorang warga emas yang menghidap penyakit kencing manis turut mengambil tindakan yang sama.
Zabedah Omar, 66, berkata, pengalaman selama lebih 20 tahun membuatkannya lebih bersedia untuk menghadapi saat-saat sukar itu.
Katanya, biarpun telah lali berdepan bencana alam itu, namun dia tetap risau setiap kali terpaksa melalui episod sukar dengan penyakit yang dihidapinya.
“Pada 1997 banjir masa itu air naik teruk, (banjir) 2014 lagi teruk habis barang-barang rumah (terpaksa) dibuang," kata Zabedah lagi.
Haslini dan Zabedah berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal.
Hujan lebat yang berterusan sejak Isnin menyebabkan seramai 151 orang mangsa dari Taman Murni Perrmai dipindahkan ke PPS.
#ibu mengandung #warga emas #nekad redah banjir #musim tengkujuh #banjir besar #Taman Murni Permai #Tok Jembal #Kuala Nerus #terengganu
;