Ibu mengaku tidak bersalah dera anak

Astro Awani
Februari 5, 2016 15:17 MYT
Selasa lalu, tangisan kuat kanak-kanak ini telah membawa kepada pendedahan kes dera yang dipercayai dilakukan tertuduh. - Foto Astro AWANI
Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterwoth pada Jumaat atas tuduhan mendera anak perempuannya yang berusia 5 tahun pada Selasa lalu.
Tertuduh, R. Malathi, 41, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikut kertas pertuduhan, Malathi didakwa memukul dan mendera anaknya di sebuah rumah di Jalan Besar, Kampung Manis, Prai pada jam 3.30 petang, 2 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwaraya, Noor Syafina Mohd Radzuan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah membenarkan ikat jamin ke atasnya dengan alasan perlu bekerja dan menghadiri kaunseling.
Hakim Norashima kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selasa lalu, tangisan kuat seorang kanak-kanak telah membawa kepada pendedahan kes dera yang dipercayai dilakukan tertuduh.
#ibu dera anak #kes dera #mengaku tidak bersalah
;